19
Fri, Jul
47 Artikel Baru

Ramai pengundi keluar sebelah pagi

Berita
Typography

SEREMBAN: Permulaan pagi yang baik menggalakkan pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau untuk turun awal menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya kecil (PRK).

Keadaan lalu lintas mulai sesak di pusat-pusat mengundi hingga hampir tengah hari ini.

Tambahan pula laluan jalan raya dua lorong ke tempat pembuangan undi menambahkan kesesakan.

Ekoran itu berlaku sedikit kesesakan menyebabkan ramai terpaksa beratur panjang di pusat membuang undi untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Pengundi dari Kuala Sawah, Rabiah Samsudin, 75, berkata beliau keluar seawal jam 9 pagi bersama anaknya namun hanya dapat mengundi sekitar sejam selepas itu.

"Mak cik keluar seawal 9 pagi. Orang ramai di saluran satu, terpaksa beratur panjang. Ada warga emas yang tak larat berdiri, disediakan kerusi untuk duduk.

"Walau macam manapun mak cik lega selepas kerana dah tunaikan tanggungjawab," katanya yang tinggal tidak jauh dari pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Sega.

Ujarnya, beliau berharap calon yang diundinya dapat melaksanakan tanggungjawab yang terbaik demi masa depan anak generasi selepasnya.

Namun begitu, keadaan masih terkawal dengan bantuan anggota polis trafik yang mengawal lalu lintas.

Dijangkakan akan lebih ramai pengundi di Dun Rantau ini akan turun untuk membuang undi.

Walau bagaimanapun, belum terlewat untuk pengundi luar turut serta mengambil bahagian bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Kemeriahan di luar pusat mengundi sangat meriah dengan sokongan penyokong kedua parti.

Hari ini merupakan hari mengundi untuk PRK Rantau yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan, Dr S Streram (Pakatan Harapan) termasuk dua daripada Bebas, R Malar dan Mohd Nor Yassin. – HARAKAHDAILY 13/4/2019