25
Sat, May
26 Artikel Baru

Gesa Asmuni Awi mohon maaf secara terbuka

Berita
Typography
DEWAN Pemuda PAS Negeri Perak merasa kesal di atas tuduhan melulu yang dilemparkan oleh Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi terhadap Almarhum Ustaz Norazli Musa.
 
Tindakan membuat tuduhan melulu tanpa usul periksa merupakan perkara yang sangat ditegah dalam agama. Isu yang dibangkitkan melibatkan insan yang sudah kembali ke rahmatullah adalah isu lama di mana suara audio itu merupakan suara Almarhum Ustaz Norazli Musa.
 
Taklifan Exco Agama seharusnya menjadi peringatan besar kepada Asmuni Awi agar berfikir, bercakap dan bertindak dengan betul dan tepat dalam setiap perkara yang dilakukannya. Seharusnya beliau mendapat kepastian terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum dan menyebar audio suara Almarhum Ustaz Norazli Musa dalam sidang Dun Perak kelmarin.
 
Berbekalkan latar belakang seorang yang mahir dalam bidang undang-undang yang ada padanya, Asmuni Awi patut menjadi seorang yang teliti dalam menyelidik sesuatu perkara. Bukankah dalam isu ini semasa Almarhum Ustaz Norazli masih hidup beliau telah bertindak menyaman pihak yang menfitnah Almarhum kononnya beliau menyatakan bahawa "siapa yang keluar jamaah Islam (PAS) maka ia jatuh kafir"?
 
Justeru pihak Mahkamah mendapati bahawa pihak defendan telah melakukan fitnah terhadap plaintiff iaitu Almarhum Ustaz Norazli Musa dan Mahkamah Seksyen Kota Bharu Kelantan telah memberi kemenangan kepada Almarhum Ustaz Norazli Musa dalam kes tersebut. 
 
Semua kita mengetahui bahawa Almarhum Ustaz Norazli Musa telah kembali ke rahmatullah baru-baru ini, beliau dipilih Allah meninggal dunia dalam keadaan yang mulia di Kota Suci Madinah dan jenazahnya kini berada di perkuburan Baqi' bersebelahan Al Masjid an Nabawi yang menyimpan jasad yang mulia Baginda Rasulullah SAW.
 
Menyentuh perihal Almarhum Ustaz Norazli Musa dalam keadaan beliau tidak dapat membela diri adalah satu tindakan yang jelek dan hina yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang memegang taklifan sebagai Exco Agama.
 
Justeru, DPPN Perak mendesak agar Asmuni Awi segera membuat permohonan maaf secara terbuka di atas tindakannya itu. Kenyataan dan tindakan beliau dalam Sidang Dun Perak baru-baru ni telah melukakan hati isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga serta semua sahabat handai Almarhum Ustaz Norazli Musa.
 
"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
“واعتصموا”
 
USTAZ HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak - HARAKAHDAILY 24/4/2019