19
Thu, Sep
39 Artikel Baru

PAS-Umno Gopeng sedia menuju PRU15

Berita
Typography

GOPENG: PAS Kawasan Gopeng bersama Umno Bahagian Gopeng telah mengadakan Ceramah Perpaduan Ummah melibatkan penyertaan anggota dari seluruh Cawangan dalam Parlimen itu, kelmarin.

Majlis tersebut diadakan dalam usaha mengukuhkan lagi ukhuwah antara ahli-ahli PAS dan Umno Gopeng sebagai memperkemaskan persediaan bersama dalam menuju PRU15 akan datang.

Ceramah telah disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Penerangan Umno, Dato' Dr Shamsul Anuar Nasarah yang dilangsungkan di Wisma Purnama, Pengkalan Pegoh, di sini.

Turut sama ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato' Seri Tajuddin Abdul Rahman, serta Yang DiPertua PAS Gopeng, Ustaz Abu Bakar Hussin dan Ketua Umno Gopeng, Dato' Hang Tuah Din.

Semua penceramah membawa mesej sama mengingatkan ahli-ahli PAS dan Umno mengenai kepentingan kesatuan ummah dalam mengembalikan kuasa Melayu-Islam pada PRU15 nanti.

Malah menurut mereka, penyatuan dua parti ini telah memberi mimpi ngeri kepada PH selaku pemerintah kini kerana jelas tidak mempertahankan Melayu dan Bumiputera dalam agenda pemerkasaan rakyat.

Dato' Dr Shamsul dalam ucapannya menyingkap sejarah Kerajaan Islam Andalus Sepanyol yang berjaya membangunkan Tamadun Islam sekitar 800 tahun tetapi runtuh akibat perpecahan.

Antaranya juga diiktibarkan beliau dari kisah itu, adalah masalah dalaman hingga berlaku pengkhianatan yang menyebabkan musuh mengambil kesempatan menjatuhkan Kerajaan Islam.

Pengajaran berkaitan turut ditegaskan Ustaz Idris dari kisah pertelagahan Bani Bakr dan Bani Taghlib selama 40 tahun berperang hanya kerana tersilap memanah kaki unta.

Sedangkan ujar beliau, Islam telah membuktikan nikmat dan rahmat oleh kesatuan yang dibina umat Islam apabila menjadi kekuatan hingga dapat menguasai dua pertiga dunia. - HARAKAHDAILY 26/4/2019 

IMG 20190426 WA0005