17
Sat, Aug
25 Artikel Baru

Setahun Kerajaan PH: Hentikan 'Blaming Culture'

Berita
Typography
POLISI dan dasar Kerajaan PH bukan sahaja kabur dan celaru, malah secara terang telah mengganggu gugat ketenteraman awam yang menjadi faktor utama ketidakstabilan negara. Bahkan juang dan janji PH untuk membaiki segala kepincangan ekonomi yang merengsakan rakyat, malangnya apabila berkuasa lebih sibuk mengusik aspek sosial kaum dan agama.
 
PH membuka jalan, memudahkan dan seolah mengiktiraf entiti Liberal dan songsang, termasuk memberi jawatan dan pembiayaan kepada mereka. Lebih dikesali mencabar peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan perkara dimanifestokan juga boleh dimungkiri termasuk kepada anak muda seperti PTPTN, kos sara hidup, gaji minimum dan banyak lagi.
 
Rakyat hilang teruja kepada PH kerana tidak komited mengembalikan atau memberi sesuatu yang boleh mengubah desakan hidup mereka. Tetapi apabila diberi markah gagal, PH cenderung menuding jari menyalahkan pihak lain hingga menyeret kepada sengketa terbuka. Mulanya BN, Najib Razak dan Jho Low, kemudian PTD, dan sekarang kepada penjawat awam pula.
 
Ini hanya menunjukkan bahawa PH sebenarnya kerajaan yang tiada modal atau bankrap dalam banyak aspek. Hingga hari ini, Najib yang diperangi PH masih bebas merdeka, bahkan melonjak pula populariti “Bossku” beliau. Satu persatu dakwaan dilempar ke atas Najib seolah hanya fitnah dan dendam semata-mata apabila gagal mensabitkan sebarang pertuduhan.
 
PH bukan sahaja gagal sebagai kerajaan, malah membariskan Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak kompeten. Apabila mereka tidak mampu menjadi lebih baik dari asasnya, lalu berseteru dengan para PTD dan penjawat awam. Kini sedang berlegar tuduhan penjawat awam tidak setia, sabotaj dan propaganda “birokrat jahat membentuk kartel seperti mafia”.
 
Terbaharu, beramai-ramai anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diheret ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Setelah itu kedengaran pula dakwaan penjawat awam menentang kerajaan kerana mereka tidak berminat menentang rasuah. Apakah ini semua wayang lakonan yang cuba untuk memburukkan reputasi para penjawat awam?
 
Jika benar Kerajaan PH ikhlas memerangi rasuah, buka semula siasatan berprofil tinggi membabitkan antaranya projek terowong dasar laut Pulau Pinang dan kes di Sabah. Jika isu 1MDB kerajaan akan bertindak ke lubang cacing, kenapa tidak kes ini? Jangan hanya minta penjawat awam menyanyikan lagu anti rasuah, sedangkan ahli politik ini lebih utama menyanyikannya.
 
Oleh itu, hentikan budaya menyalahkan pihak lain, tetapi muhasabah pakatan sendiri. Hakikatnya, penjawat awam berdepan penipuan, ketidakcekapan dan kegagalan pimpinan atau ahli politik PH yang mentadbir polisi dan dasar. Ini telah menyebabkan gangguan yang besar, selain turut merencatkan prestasi serta kemampuan telah penjawat awam berikan.
 
"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
 
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 11/5/2019