25
Sat, May
26 Artikel Baru

Tun M ambil yang ekstrem, PAS-Umno bersih

Berita
Typography
KUALA KRAU: Isu kafir mengkafir atau takfiri di tahun 1980-an berlaku kerana wujud individu-individu ekstrem di dalam PAS dan juga Umno yang bertembung sesama sendiri lantaran kejahilan terhadap Islam.
 
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjawab isu yang terus ditimbulkan berulang kali oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini semalam.
 
Menurut beliau, mereka yang ekstrem menimbulkan isu tersebut telah diambil Dr Mahathir masuk Umno, termasuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang keras menghentam kerajaan dan Umno pada tahun 1982.
 
Namun katanya, pergolakan yang berlaku tahun 1998 menyebabkan Anwar keluar daripada Umno dan mereka itu bergabung dengan PAS dan turut menimbulkan masalah lagi.
 
“(Tetapi) Alhamdulillah, saya ucap terima kasih (kepada) Perdana Menteri (kerana) ambil orang-orang ini masuk PH, masuk dalam parti dia, dan Umno bersih daripada orang ini. Jadi Umno dan PAS dalam keadaan yang bersih sekarang.
 
“Diambil mereka-mereka yang dianggap sebagai masalah-masalah dalam Umno, dalam PAS ini masuk PH. Tinggal kita parti yang alhamdulillah dalam keadaan baik. Dengan itu, usaha penyatuan PAS dan Umno akan berlaku dengan baik, insyaAllah ini natijahnya.
 
“Saya ucap terima kasih kepada Tun Mahathir kerana tolong ambil orang ini masuk PH, untuk selamatkan PAS dan Umno. Insya-Allah PAS dengan Umno akan bekerjasama hadapi PRU15 dan capai kemenangan. Kemenangan dengan semangat Nuzul Quran, semangat Badar,” ujarnya pada Pelancaran Sambutan Badar Kubra dan Nuzul Quran PAS Pusat itu.
 
Terdahulu, beliau menggambarkan sikap ekstrem tersebut dari tindakan golongan menghina hukum-hukum Islam dan ketika sama wujud kalangan yang mahu hukuman hudud segera dilaksanakan hingga timbul pertembungan itu.
 
Jelasnya, hal yang berlaku di era 1960-an dan 1970-an itu adalah disebabkan kejahilan umat Islam, namun masih terdapat tanda-tanda kemanisan iman dalam diri mereka, tetapi tidak dihadapi dengan pendekatan terbaik.
 
Tuan Guru turut menyanggah sikap tidak adil terhadap ucapannya yang dilabel sebagai ‘Amanat Haji Hadi’ di mana fitnah berkenaan telah dijawab, termasuk siasatan pihak berkuasa tidak menemui tuduhan takfiri itu.
 
Lebih awal dalam ucapannya di majlis itu, beliau menghurai mengenai keadilan Islam yang menaungi semua golongan, bangsa dan agama di banyak bahagian muka bumi apabila berkuasa memerintah dan memimpin.
 
Tetapi keadilan itu ujarnya, dihadapkan dengan bala tentera hingga kejatuhan pemerintahan Islam menyebabkan umatnya mengalami kelemahan dalam banyak segi serta dijajah dan jahil lalu saling bertembung sesama sendiri.
 
Berucap sama pada majlis itu adalah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Umno, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, serta turut dihadiri para pemimpin dan penyokong kedua parti. - HARAKAHDAILY 11/5/2019   
IMG 20190511 WA0003
IMG 20190511 WA0004
IMG 20190511 WA0002