17
Sat, Aug
24 Artikel Baru

PSR: Tidak 'telus', tapi bakal 'tembus'?

Berita
Typography

KEDEGILAN kerajaan negeri untuk tetap meneruskan projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) semakin dicurigai dan diragui ekoran kegagalan memenuhi banyak perkara melibatkan aspek telus dan mampu. Termasuk tidak memberi penjelasan memuaskan bukan sahaja kepada media, malah juga di Persidangan Dun baru-baru ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow seolah-olah 'membaca skrip balik tabir', manakala Timbalan Ketua Menteri, Dr P Ramasamy terus dengan sikap emosinya yang dilihat seakan melenting. Ketika sama, publisiti umum untuk semakan awam menilai Kajian Impak Alam Sekitar (EIA); diadakan pada waktu 'sempit' yang merumitkan untuk diberi maklum balas.

Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang dibantah awam kerana risiko dan kesan negatif besar berbanding manfaat bakal dibawanya. Ia perlukan kos sangat tinggi bagi setiap komponen projek, antaranya kos tambakan iaitu melebihi RM80 perkaki persegi. Ini jauh terlalu mahal berganda dari kos tambakan di Melaka dan Johor.

Pan Island Link 1 (PIL 1) pula bakal menjadi projek lebuh raya termahal di Malaysia hampir mencapai RM500 juta perkilometer berbanding Lebuh Raya KIDEX cuma RM161 juta. Dengan kos selenggara melebihi RM65 juta setahun, kewangan negeri mustahil dapat menjayakan ianya bebas tol. Apakah sekali lagi penduduk Pulau Pinang bakal ditipu DAP?

Begitu juga projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas memerlukan modal hingga RM9 bilion dan kos operasi pula RM170 juta setahun. Malah, jangkaan 42 juta pengguna setahun atau bersamaan 116,000 sehari; jauh lebih tinggi dari LRT Ampang - Sri Petaling yang paling sibuk di mana selepas 19 tahun baru mencapai 61 juta pengguna.

Sedarkah juga, jangkaan diletak itu sebenarnya membayangkan aliran trafik sangat tinggi di dalam pulau? Seluruh segmen Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) akan sia-sia kerana tidak menjadi penyelesaian masalah. Sebaliknya pula, bakal 'meninggikan' lagi tekanan kepada penduduk berdepan kesesakan lalu lintas.

Kemampanan kewangan juga dipertikai kerana perbelanjaan dengan hasil berada pada aliran tunai dan garis masa yang tidak sepadan. Ini kerana kos untuk pembinaan adalah segera, sedangkan hasil jualan yang amat mahal itu adalah jangka panjang. Jika hasil kurang, pasaran hartanah pasti terjejas teruk akibat berlaku lambakan.

Malah, pinjaman awal RM1 bilion yang dipohon daripada Kerajaan Pusat tidak memadai bagi memulakan fasa pertama bernilai RM17 bilion. Bagaimana jika pinjaman itu tidak diluluskan oleh Kerajaan Pusat? Ironinya, permohonan itu sudah menunjukkan bahawa wujud ketidakmampuan kewangan pihak-pihak terlibat.

Lebih jelik kerana ia sering diumum akan 'dibiayai sendiri' Konsortium SRS selaku pemaju. Paling nyata akibat daripada PSR; penduduk miskin bakal 'terusir' dan alam sekitar akan musnah, ditambah isu kelulusan dan kepentingan. Apakah, liabiliti yang ada menunjukkan projek tiga komponen ini sebenarnya tidak 'telus', tapi 'tembus'?

"Islam Memimpin"

YB USTAZ MOHD YUSNI MAT PIAH
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang
ADUN Penaga - HARAKAHDAILY 15/5/2019