19
Wed, Jun
31 Artikel Baru

Perantau jaya kempen ‘Kelantanku Bersih’

Berita
Typography

KOTA BHARU: Anak-anak perantau yang pulang berhari raya bersama keluarga diharap turut memberi sokongan menjayakan kempen ‘Kelantanku Bersih dan Ceria’.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, semua pihak hendaklah mengambil tanggungjawab bersama menjaga kebersihan sama ada di jalan raya, di kampung halaman atau di mana sahaja.

“Hendaklah kita sentiasa menjaga kebersihan. Ini benar-benar melambangkan ketakwaan kita kepada Allah SWT,” katanya pada perutusan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Oleh itu beliau berharap anak-anak Kelantan di perantauan yang pulang ke kampung memberi sokongan terhadap kempen kebersihan.

Beliau juga berkata, dijangka tidak kurang sejuta rakyat Kelantan pulang berhari raya di kampung halaman tahun ini.

Oleh itu beliau turut berharap penggunaan air tidak dibazirkan.

Manakala bagi kawasan yang mempunyai kekurangan tekanan bekalan air kerajaan menyediakan tangki-tangki statik di lokasi-lokasi tertentu.

“Hendaklah kita berjimat cermat dan elakkan pembaziran air supaya Allah SWT memberi keberkatan dan dapat kita menyambut Hari Raya dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Kelantan dan diharap ibadat sepanjang Ramadan boleh menambah ketakwaan.

“Sempena perayaan Aidilfitri saya berharap kita gunakanlah peluang bersama-sama bermaafan dan saling mengunjungi antara satu sama lain sama ada keluarga, sahabat handai dan kenalan,” ujarnya.

Beliau juga berharap anak-anak Kelantan di perantuan sentiasa berhati-hati dan mengikut peraturan sepanjang perjalanan.

“Jangan lupa membaca doa memohon keselamatan dalam perjalanan,” katanya. - HARAKAHDAILY 3/6/2019