19
Thu, Sep
33 Artikel Baru

Ustaz Wan Ahmad Rasyidi, murabitun tak didendang

Allahyarham bersama Allahyarham Ustaz Harun Taib.

Berita
Typography

MADINAH: Seluruh kepimpinan dan ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendapat perkhabaran duka apabila kehilangan murabithun yang cukup penting di dalam parti iaitu Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Wan Ahmad Rasyidi Wan Othman.

Allahyarham telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 11.18 pagi (waktu Malaysia jam 4.18 petang) di Hospital Dr. Hamid Sulaiman Al-Ahmadi, Madinah Munawwarah kerana serangan penyakit strok sejak 26 Mac yang lalu.

Allahyarham merupakan seorang petugas PAS yang berkhidmat sepenuh masa menjayakan agenda-agenda yang dibawa PAS.

Allahyarham Ustaz Wan Ahmad Rasyidi telah berkhidmat bersama PAS sejak kepulangan beliau dari Mesir dan menjawat jawatan sebagai Setiausaha Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat untuk membantu menggerakkan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) terutama sekali di dalam mengerahkan idea dan tenaga untuk membangunkan institusi pendidikan di bawah tanggungjawab DUPP, Kolej Universiti Zulkifli Muhammad (KUIZM).

Allahyarham sedang menjawat jawatan sebagai Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat bagi sesi 2017-2019 dan juga sebagai Bendahari Kolej Universiti Zulkifli Muhamad (KUIZM).

Sepanjang keberadaan Allahyarham di dalam PAS, beliau telah menyandang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah KUIZM, Bendahari KUIZM, AJK Dewan Ulamak PAS Selangor (2011-2013), Setiausaha Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (2005), Setiausaha Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat, Penolong Setiausaha 1 Dewan Ulamak PAS Pusat (2013-2017), Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat (2017-2019).

Allahyarham juga merupakan susuk tubuh yang terlibat dalam usaha untuk menubuhkan Lajnah Pembangunan Alimat di bawah Dewan Ulamak PAS Pusat sejak awal sehingga penubuhannya.

Berita kematian Allahyarham juga turut mendapat simpati daripada Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad yang berkongsikan perkhabaran duka tersebut di dalam laman Facebooknya.

Menurut Ketua Penerangan DUPP, Ustaz Mohd Asri Mat Daud, DUPP merasakan kehilangan yang cukup besar kepada parti kerana Allahyarham banyak menggerakkan pelbagai agenda pemerkasaan parti.

"Pihak DUPP terlalu merasai kehilangan beliau di saat pelbagai agenda pemerkasaan parti sedang dilaksanakan," katanya di laman Facebook beliau.

Begitu juga respons yang diberikan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, YB Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menganggap parti kehilangan seorang yang cukup tekun dalam memberikan khidmat kepada parti.

"Almarhum seorang yang sangat tekun berkhidmat khususnya Dewan Ulamak PAS dan Pusat pendidikan PAS seperti KUIZM dan lain-lain," katanya.

Menurut Rektor KUIZM, Dr. Mohd Zuhdi Marsuki, Allahyarham adalah antara tiga figura penting di dalam usaha untuk menubuhkan pusat pendidikan PAS KUIZM.

"Beliau adalah antara tiga figura utama yang berusaha untuk merealisasikan penubuhan KUIZM lebih satu dekad yang lalu," kata beliau.

Kehilangan Allahyarham Ustaz Wan Ahmad Rasyidi mendapat perhatian ramai pihak termasuk ahli-ahli PAS di seluruh peringakat serta sahabat-sahabat terdekat yang berkongsi kesedihan di laman sosial dan menganggap kehilangan yang cukup besar bukan sahaja terhadap parti malah untuk pembangunan ummah.

Jenazah Allahyarham Ustaz Wan Ahmad Rasyidi disemadikan di Madinah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi' bersama kubur para sahabat RA. – HARAKAHDAILY 14/6/2019

usung
Jenazah Almarhum Ustaz Wan Ahmad Rasyidi diusung ke Baqi'.