20
Thu, Jun
49 Artikel Baru

Jemaah Masjid Tok Jiring solat ghaib

Berita
Typography

KUALA NERUS: Seramai lebih 300 ahli jemaah Masjid Jamek Tok Jiring mengadakan solat ghaib ke atas jenazah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Almarhum Ustaz Wan Ahmad Rasyidi, selepas solat Jumaat, hari ini.

Ustaz Wan Ahmad disahkan meninggal dunia pada 8 Syawal 1440 Hijrah bersamaan 12 Jun 2019, lalu di Madinah.

Imam Masjid Jamek Tok Jiring, Ustaz Abdullah Basri Abu Bakar, telah mengimamkan solat ghaib itu sebagaimana disarankan DUPP.

Pengerusi Masjid Jamek, Ustaz Muzaihar Kamal Mustafa Kamal berkata, lebih 100 pelajar Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT) antara lebih 300 jamaah yang menunaikan solat ghaib ke atas almarhum.

“Kami mendoakan semoga allahyarham Ustaz Wan Ahmad itu berada bersama orang yang soleh kerana meninggal dunia di bumi terpilih Madinah.

“Semoga ahli keluarga almarhum juga sabar dengan ujian ini kerana Allah SWT lebih menyayangi beliau,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Almarhum merupakan seorang lepasan pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir yang komited dalam kerja-kerja Jemaah PAS sehingga dilantik sebagai Setiausaha DUPP.

Pemergian Ustaz Wan Ahmad itu cukup dirasai dalam suasana persiapan parti akan mengadakan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat Kali Ke-55, pada 19 dan 20 Jun di Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

Pada 28 Ramadan lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran, Tumpat, Mohd Zaki Ibrahim meninggal dunia di Makkah.

Allahyarham Mohd Zaki pernah menjadi wakil rakyat itu selama tiga penggal bermula Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2004, 2008 dan 2013. – HARAKAHDAILY 14/6/2019