20
Thu, Jun
41 Artikel Baru

Kes Orang Asli ke mahkamah lebih tinggi

Berita
Typography

KERAJAAN negeri dijangka membuat rayuan ke mahkamah lebih tinggi berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengisytihar tanah lebih 23,000 ekar di Pos Belatim, sebagai ‘tanah adat’ Orang Asli.

Sumber kerajaan negeri berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut keputusan kes tersebut bagi meneliti tindakan lanjut.

Lagipun kata beliau pihaknya belum mendapat keputusan penuh daripada mahkamah berhubung keputusan itu.

“Namun apa pun ada ruang untuk membawa kes tersebut ke mahkamah lebih tinggi. Ada kekeliruan yang timbul berhubung tafsiran tanah adat,” katanya di Kota Bharu.

Mahkamah Tinggi di Kota Bharu semalam membatalkan pembangunan Ladang Rakyat oleh kerajaan Kelantan di kawasan terbabit.

Mahkamah menjelaskan tanah di Post Belatim merupakan tanah adat dan pemohon pula penduduk asal di situ.

Permohonan semakan kehakiman dibuat 800 Orang Asli Pos Belatim diwakili Rosli Along, Angah Along dan Hassan Alang dengan menamakan kerajaan Kelantan serta Pengarah Tanah dan Galian negeri sebagai responden.

Difahamkan kes ini yang bermula sejak 2011 apabila tanah tanah kerajaan tersebut diberikan kepada Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat untuk dimajukan dengan projek perladangan.

Bagaimanapun saman awal ditolak mahkamah. Namun pada 2015 kumpulan penduduk Orang Asli terbabit sekali lagi membawa kes itu ke mahkamah. – HARAKAHDAILY 24/4/2017