20
Thu, Jun
42 Artikel Baru

MPKB BRI rancang pembangunan secara mampan

Berita
Typography

MAJLIS Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) melaksanakan Local Agenda 21 (LA21) di Parlimen Kota Bharu bagi merancang pembangunan secara mampan.

Yang Dipertuanya Datuk Zamri Ismail berkata, LA21 mementing kesejahteraan rakyat, teknologi hijau dan muafakat sesama masyarakat.

Katanya, program tersebut akan diperluaskan ke kawsan Parlimen Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian yang juga terletak dalam kawasan MPKB-BRI.

"LA21 sudah acap kali kita adakan tetapi dalam skala yang kecil seperti taman perumahan. Kini kita buat di peringkat Parlimen pula," katanya ketika ditemui selepas program terbabit kelmarin.

LA21 dilaksanakan selaras dengan tuntutan United Nations Development Programme (UNDP). Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan melaksanakan aktiviti LA21.

Ia bertujuan bagi mewujudkan kerjasama erat antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi swasta dan masyarakat.

Zamri juga berkata, di peringkat parlimen Kota Bharu dikumpul tiga kawasan Dewan Undangan Negeri yang terlibat iaitu Bunut Payong, Kota Lama dan Tanjung Mas.

Majlis muafakat program Local Agenda 21 itu dirasmikan anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Program yang diadakan di Jalan Kebun Sultan tersebut turut dihadiri Adun Kota Lama Datuk Anuar Tan Abdullah, Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim dan ahli-ahli Majlis MPKB BRI.

Program sehari tersebut disendatkan dengan pameran agensi-agensi kerajaan negeri dan pusat, sukan, gotong-royong dan penyampaian hamper kepada warga emas. – HARAKAHDAILY 24/4/2017