23
Wed, Oct
41 Artikel Baru

PAS Bangi raikan ahli bakal tunai haji

Berita
Typography
BANGI: PAS Kawasan Bangi telah menganjurkan Majlis Meraikan Dhuyufurrahman buat ahli PAS yang bakal menunaikan haji tahun ini pada program di D'Mawaddah, di sini semalam.
 
Menurut Timbalan Yang DiPertua PAS Bangi, Ustaz Nushi Dato' Mahfodz  semasa memberikan ucapan, ahli PAS merupakan duta utama perpaduan semasa mereka berada di Tanah Suci.
 
"Dalam agenda PAS memimpin perpaduan, harapan kami andalah duta PAS dan duta-duta Islam yang akan memimpin perpaduan di tanah suci. Walaupun disana terdapat pelbagai mazhab, jangan besarkan perkara tersebut, letak Islam di hadapan.
 
"Sama juga bila balik ke Malaysia, walau terdapat Umno dan pelbagai parti politik, kita perlu letak Islam sebagai agenda utama, insya-Allah kita akan jumpa perpaduan," ujarnya.
 
Dalam masa sama Nushi berkata, ibadah haji memerlukan fokus yang tinggi bagi tetamu Allah untuk melaksanakan setiap ibadah yang telah diperintahkan tanpa mempersoalkan sebab tindakan tersebut perlu dibuat.
 
"Allah suruh kutip batu, kutip, pusing arah lawan jam, kita ikut tanpa persoal. Maka, balik nanti bila dengar perintah Allah terus buat. Taat, patuh dan ikut.
 
"Cuba bayangkan untuk gerak kerja tarbiyah dan gerak kerja PAS, semua ahli ikut arahan pimpinan. Taat dari semua peringkat, insya-Allah, Allah akan memberikan kemenangan."
 
Beliau juga telah menyuntik semangat bakal haji yang hadir ini untuk bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah dengan memberi analogi kematian sebagai panduan.
 
"Dari sudut tazkiyatun Nafsi, kita pergi dengan kain ihram, ramai-ramai pergi hantar, perginya dengan driver namanya pilot. Secara falsafah, untuk dapatkan feel yang lebih bagi ana, ibarat orang menghantar kita ke tanah perkuburan.
 
"Ramai-ramai hantar kita ke tanah perkuburan dengan kita memakai kain kafan sahaja dan dihantar oleh van jenazah. Maka, jangan main-main, buat betul-betul," nasihatnya.
 
Dalam majlis ini juga, para tetamu Allah ini turut menerima cenderahati daripada PAS Bangi untuk digunakan apabila sampai ke Tanah Suci nanti. - HARAKAHDAILY 14/7/2019