23
Wed, Oct
41 Artikel Baru

UMMAH Pulau Pinang bantah projek PTMP, PSR

Berita
Typography
GERAKAN Pembela Ummah Negeri Pulau Pinang (UMMAH Pulau Pinang) memandang serius berkaitan isu projek mega Rancangan Induk Pengangkutan (PTMP) Pulau Pinang yang merupakan projek terbesar di Malaysia yang pasti akan mengubah landskap sosio ekonomi umat Islam. 
 
UMMAH Pulau Pinang menyeru agar pelan induk ini dikaji dengan teliti agar kemajuan yang dicita tidak menggadai sosial budaya dan kegiatan ekonomi masyarakat Islam Pulau Pinang
 
UMMAH Pulau Pinang melihat strategi projek Penang South Reclamation (PSR) sebagai penjana sumber kewangan kepada projek PTMP telah melencong dari matlamat asal untuk menyelesaikan masalah pengangkutan Pulau Pinang. Rancangan tambakan 3 Pulau Palsu melalui Projek PSR ini menyerlahkan lagi bahawa PTMP telah menjadi Penang Real Estate Masterplan. 
 
Kami menggariskan 3 bentuk kesan besar PSR melalui rancangan PTMP yang sedang di usahakan oleh pihak kerajaan hari ini :
 
I.    Kerosakan alam sekitar dan risiko bencana
 
II.   Pembangunan tidak seimbang, mengabaikan rakyat dan keuntungan hanya di pihak pemaju
 
III.  Perubahan demografi drastik yang menjejaskan keharmonian rakyat berbilang kaum.
 
Kami difahamkan, Kerajaan Pulau Pinang telah menerima kelulusan bersyarat laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek tambak laut ini daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berserta 72 syarat yang wajib dipatuhi. UMMAH Pulau Pinang mendesak agar kerajaan Negeri telus dengan memberi butiran 72 syarat yang ditetapkan kepada masyarakat umum.
 
DR ZAKI IBRAHIM
Timbalan Pengerusi 1
Gerakan Pembela UMMAH
Pulau Pinang - HARAKAHDAILY 14/7/2019