20
Thu, Jun
39 Artikel Baru

Menjejaki projek Lebuh Raya Rakyat

Berita
Typography

MENJEJAK laluan yang bakal menjadi kebanggaan rakyat Kelantan itu begitu mengujakan sekali. Kami antara rakyat Kelantan yang dapat meninjau perkembangan pembinaan Lebuh Raya Rakyat (LRR) dari dekat.

Biarpun panas terik menyengat, namun kerana semangat tinggi kami gagahi juga untuk menimba pengalaman menjejaki lebuh raya yang dibina kerajaan negeri.

Kelantan satu-satunya negeri di Malaysia yang membina sendiri sebahagian lebuh raya, biarpun tanggungjawab itu di bawah kerajaan pusat.

LLR jalanBerbekalkan topi dan jaket penyelamat kami bersama Adun Kemuning Ustaz Mohd Roseli Ismail dan pegawai dari syarikat pembinaan dan perunding menjejaki tapak pembinaan di Machang baru-baru ini.

Laluan sejauh 10 kilometer yang dibina bermula dari Berangan Mek Nab ke Bukit Tiu iaitu berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang sedang giat dijalankan.

LRR diberi nama mengambil sempena hasrat rakyat di Kelantan yang begitu mendambakan jalan raya yang selesa sejak sekian lama.

Biarpun pernah disenarai di bawah Rancangan Malaysia Ke Lima pada 1986 namun projek lebuh raya Kota Bharu - Kuala Krai tidak menjadi kenyataan.

Ustaz Roseli berkata, menariknya pengguna LRR tidak akan dikenakan sebarang tol.

Pembinaannya sekarang dijalankan HRA Teguh Sdn Bhd bermula 21 Mac lalu.

Sebelum ini pernah dibina syarikat Jambatan Kedua Construction & Consultancy Sdn Bhd (JKCC), namun terpaksa menarik diri difahamkan akibat gangguan Umno Machang.

LLR dijangka siap pada September 2018. Nik Jai Associates Sdn Bhd dilantik sebagai perundingnya.

Kami bersama Ustaz Mohd Roseli dibawa pegawai syarikat terbabit Azmi Muhammad dan wakil perunding menaiki pacuan empat roda meninjau pembinaan lebih raya berkenaan.

Azmi berkata kerja-kerja pembinaannya bermula seawal jam 8 pagi hingga 7 malam.

“Malah kerja-kerja pembinaan juga dijalankan pada Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Ketika tinjauan itu kelihatan beberapa lori, jentolak dan pacuan empat roda sibuk ulang alik di kawasan pembinaan. – HARAKAHDAILY 25/4/2017

(Laporan penuh dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)