20
Thu, Jun
39 Artikel Baru

Yik benteng pertahan aqidah pelajar

Berita
Typography

YAYASAN Islam Kelantan (Yik) menjadi antara benteng pertahanan bagi menyelamatkan aqidah pelajar dalam menghadapi cabaran semasa sekarang.

Timbalan Pengarah Yik (Pengurusan), Nik Abdul Rahman Nik Yusof berkata sekolah-sekolah agama di bawah Yik menyediakan kurikulum bagi membolehkan pelajar meningkatkan kefahaman mengenai Islam.

Katanya Yik meneruskan usaha untuk membimbing pelajar supaya Islam menjadi pemangkin kepada pentadbiran negara.

“Yik bukan hanya mendidik pelajar dapat menjawab soalan dalam peperiksaan, sebaliknya menambah ilmu pengetahuan mencakupi dunia dan akhirat,” katanya ketika merasmikan Seminar Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Putik di Pengkalan Chepa.

Seramai 1,500 pelajar yang mewakili 13 sekolah mengikuti program tersebut. Seminar sehari itu diadakan bertujuan menanam kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan STAM demi masa depan mereka.

Manakala dalam perkembangan berkaitan pelajar-pelajar Maahad Muhammadi Lelaki mengikuti kursus kepimpinan di Pusat Latihan Bomba Pengkalan Kubor.

Seramai 50 pelajar mengikuti kursus kepimpinan selama tiga hari itu.

Perasmiannya disempurnakan Pengetua Maahad Muhammadi Lelaki, Ustaz Kamarjan Abdul Rahman.

Ketika berucap pada program terbabit Kamarjan berkata, bekas-bekas pelajar Yik yang bakal menjadi ketua jabatan di mana-mana agensi hendaklah berusaha melaksana peraturan berlandaskan Islam di tempat mereka bekerja.

“Misalnya kalau bertugas sebagai pengarah hospital, dia boleh mengarahkan hanya doktor wanita dibenar merawat pesakit wanita,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2017