17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Dr Samsuri dilantik Timbalan Pj PAS T’ganu

Berita
Typography

KUALA NERUS: PAS Terengganu mengumumkan pelantikan Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) yang baharu bagi sesi 2019-2021, dengan melantik Menteri Besar Terengganu sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Terengganu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang berkata, pelantikan jawatankuasa itu termaktub dalam Perlembagaan PAS mengikut fasal-fasalnya.

“Keputusan telah dibuat dan dipersetujui seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan PAS mengikut Fasal 40(3)(a)(b)(c)(d)(e)(f)(g)(h)(i)(j)(k) dan (l), yang mana terdiri daripada Timbalan-timbalan Pesuruhjaya, Setiausaha Badan Perhubungan, Ketua Penerangan Negeri, Pengerusi Jabatan Pilihanraya Negeri, Bendahari dan Penolong-penolong Setiausaha.

“Itulah jawatan-jawatan yang perlu dilantik atau yang diberi kuasa kepada Pesuruhjaya dengan persetujuan mesyuarat. Maka, pada hari ini telah dipersetujui sebagaimana berikut.

“Timbalan Pesuruhjaya I PAS I Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Pesuruhjaya II PAS II, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Timbalan Pesuruhjaya III , Dr Alias Razak,” ujarnya dalam satu sidang media di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa (Komtaq) Batu Enam, Kuala Nerus, hari ini.

Manakala, katanya Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu Muhyidin Abdul Rashid, Bendahari PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Jabatan Pilihanraya, Ustaz Ariffin Deraman.

Menurutnya, bagi jawatan Penolong-penolong Setiausaha adalah muka baharu iaitu Penolong Setiausaha I, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Penolong Setiausaha II, Dr Azman Ibrahim dan Penolong Setiausaha III, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.

Kata Dato’ Husain, bagi jawatan Ketua-ketua Dewan pula iaitu Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ismail Osman, Setiausahanya, Ustaz Abdullah Suhaimi Zakaria, Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu, Hajah Zarani Othman dan Setiausahanya, Rahimah Muda serta Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Mohd Nasir Abdul Razak dan Setiausahanya, Mohd Zaidan Abdullah.

Beliau memberitahu, semua Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan-kawasan dan Setiausaha PAS Kawasan-kawasan menjadi Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

Sementara itu, 11 jawatankuasa tambahan turut dilantik iaitu Yahaya Ali, Dr Riduan Mohd Nor, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, Zuraida Mohd Nor, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah, Mohd Kamaruzzaman Abdul Wahab, Mohd Yasin Muda, Ahmad Amzad Hashim dan Ustaz Nik Nasri Nik Abdul Malik.

Kata Dato’ Husain, bagi dua jawatan tambahan lain wakil Perantau Terengganu dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) belum diumumkan penamanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2019