19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Hari Sarawak, rakyat hidup dalam kemakmuran

Berita
Typography
HARI Kemerdekaan Sarawak (juga dikenali sebagai Hari Sarawak) adalah hari perayaan yang sambut pada 22 Julai setiap tahun oleh negeri Sarawak di Malaysia, meraikan penubuhan kerajaan sendiri dan kemerdekaan de facto pada 22 Julai 1963.
 
Sarawak telah diberikan mandat sendiri pada 22 Julai 1963, dengan jangkaan bahawa ia akan membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September pada tahun yang sama. Dikatakan bahawa sebelum upacara pada 22 Julai 1963, Gubernur Koloni yang terakhir, Alexander Waddell meninggalkan Astana dan menaiki sampan putih untuk menyeberangi Sungai Sarawak, kemudian menyerahkan pentadbiran Sarawak kepada rakyat Sarawak.
 
Oleh itu, ini adalah hari bersejarah bagi rakyat Sarawak selepas begitu lama dijajah oleh 'British Colony Crown'. Rakyat berbilang kaum, etnik, budaya dan agama di Sarawak boleh hidup dengan aman tanpa gangguan.
 
Kita boleh bekerjasama dan hidup harmoni walaupun mereka mempunyai bahasa, budaya, dan agama yang berlainan. Inilah keunikan rakyat Sarawak yang mempunyai pelbagai kaum dan agama boleh hidup dengan aman dan makmur.
 
Sarawak boleh menjadi contoh bagi negara-negara lain yang berbilang kaum, bahasa dan agama bahawa di Sarawak rakyat boleh hidup aman damai seperti dalam suatu keluarga yang besar.
 
Sekarang, fasa penting bagi semua rakyat Sarawak terus bersatu. Tolak budaya fitnah, memprovokasi, menghasut dan perkauman yang dibawa oleh kumpulan tertentu. 
 
Begitu juga dengan budaya politik yang melampau, pelanggaran janji, chauvinisme, skandal seks, skandal rasuah, dan semua kepentingan peribadi untuk merampas kedudukan dengan memasang kroni.
 
Kami mahu Sarawak bebas daripada budaya asing yang melampau yang tidak sesuai dengan budaya tempatan yang mempraktikkan keharmonian dan saling menghormati antara satu sama lain.
 
Selamat menyambut perayaan Hari Sarawak kepada semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak - HARAKAHDAILY 21/7/2019