17
Tue, Sep
45 Artikel Baru

Muslimat-Wanita Gombak meterai hubungan rasmi

Berita
Typography
GOMBAK: Muslimat PAS Kawasan Gombak dan Wanita Umno Bahagian Gombak telah mengadakan Pertemuan Meja Bulat Muafakat di Pejabat PAS Gombak di Sri Gombak, di sini kelmarin.
 
Majlis yang mencatat sejarah hubungan kedua pihak ini bertujuan memeterai penubuhan Jawatankuasa Wanita Perpaduan Ummah Parlimen Gombak secara rasmi. 
 
Meja bulat ini turut membincangkan mengenai pelaksanaan program muafakat berteraskan kemasyarakatan sebagai pemangkin penyatuan gerak kerja yang mantap menjelang PRU15.
 
Program dihadiri 15 anggota dari kedua pihak dipimpin Ketua Muslimat PAS Gombak, Dr Mardhiyah Hayati Salleh dan Ketua Wanita Umno Gombak, Roszilah Zainuddin. 
 
"Cadangan penubuhan jawatankuasa ini telah diperturunkan dari Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor kepada Dewan Muslimat PAS kawasan-kawasan. Gombak merupakan antara kawasan perintis bagi jawatankuasa ini," ujar Dr Mardhiyah.
 
Sementara itu menurut Roszilah, pertemuan ini merupakan rentetan dari majlis permuafakatan yang lebih awal diadakan antara Umno Gombak dan PAS Gombak pada 22 April 2019 yang lalu. 
 
"Penubuhan ini merupakan satu usaha yang baik. Kita akan bersama-sama berjuang bermati-matian untuk memartabatkan Islam di bumi Malaysia," ujar beliau membangkitkan semangat.
 
Hasil meja bulat itu, kedua pihak akan meneruskan melaksanakan program seperti Gotong Royong Muafakat, Kacau bubur Asyura, Tafaqquh Fiddin Perdana, Kembara Muafakat, Fun Run dan lain-lain lagi. - HARAKAHDAILY 22/7/2019
IMG 20190722 WA0040