19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Baik 'syok sendiri' perjuang Islam dari bantu DAP

Berita
Typography
SEDIH apabila YB Senator menyebut “tiada apa apa pun hal yang boleh dibanggakan bagi menunjukkan negeri itu (Kelantan) lebih Islamik”. Takkanlah tiada langsung kebaikan negeri ini di mata Yang Berhormat? Tiadanya kedai kedai menjual nombor ekor dan premis judi di negeri ini berbanding negeri negeri lain, tidak istimewakah bagi Datuk? 
 
Dataran Stadium negeri ini tempat kita semua mengadakan solat tarawih, khatam dan daurah al Quran, disuburi dengan majlis majlis ilmu setiap tahun pada bulan Ramadan, tidak gembirakah Datuk dengan biah solehah sebegini? 
 
Suburnya kelas kelas pengajian agama, berkembangnya pondok pondok dan madrasah di negeri ini sepanjang hampir 30 tahun Kelantan ditadbir dengan dasar Islam, tidakkah melegakan hati Datuk? 
 
Bersihnya pentadbiran kerajaan negeri sepanjang tempoh ini tanpa terpalit dengan sebarang kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Tidakkah nampak kesan negeri ini ditunjangi oleh Islam?
 
Walaupun YB Senator mengatakan Kelantan hanya merasa “syok sendiri” dengan perkataan dan konotasi Islamik, itu sebenarnya lebih baik daripada bersekongkol dengan DAP yang secara jelas dan terang menghalang segala usaha PAS untuk meletakkan Islam pada tempat yang tertinggi dalam negara sendiri. Syok sendiri perjuangkan Islam lebih baik daripada syok sendiri bertembung dengan perlaksanaan Islam. 
 
Kenyataan YAB Menteri Besar Negeri Kelantan berkaitan kes remaja yang disyaki memijak Al-Quran nampaknya disalah ertikan oleh sebilangan kecil pihak termasuk YB Senator. Semua orang memahami dengan mudah akan maksud YAB Menteri Besar bahawa kes tersebut adalah satu ujian dan cabaran buat negeri ini yang cuba untuk mendidik rakyatnya dengan agama Islam yang menyeluruh, namun masih sahaja ada segelintir kecil remaja yang tertinggal dan tercicir daripada program program tarbiah dan juga pendidikan keagamaan.
 
Jelas dan terang. Ia tidak perlu disensasikan pun. Malahan bukan sahaja menjadi cabaran kepada kerajaan negeri, tetapi juga kepada kerajaan pusat yang memiliki segala macam media massa, akhbar arus perdana, televisyen, JAKIM, IKIM, YADIM dan seluruh agensi serta badan dakwah juga organisasi penerangan, untuk membina generasi yang benar benar memahami Islam. Atau adakah setelah PAN pergi menjauhi PAS serta aspirasi perjuangan Islamnya, maka PAN dan PH terlepas daripada memikirkan aspek dakwah dan pendidikan Islam ini?
 
YB Senator turut mempersoalkan ukuran KPI yang mengatakan Kelantan lebih islamik. Ya, agak melucukan. KPI bukanlah satu perkara yang perlu diperdebatkan dalam soal ini. Jika kita mahu bertanya pun, kenapa sejak 1990 sehingga YB meninggalkan PAS pada 2015, perjuangan Islam pernah menjadi dokongan utama bagi YB Datuk? Apakah KPI, rasional dan MBO bagi pihak YB sewaktu berada 25 tahun dalam kerajaan Islam Kelantan? Adakah sepanjang tempoh yang panjang itu Datuk tidak merasakan apa apa yang “Islamik” telah dilakukan oleh Almarhum Tok Guru Nik Aziz dalam mentadbir negeri ini?
 
Satu petikan daripada ribuan kata kata YB Datuk satu ketika dahulu, “parti ini tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini termasuk melaksanakan hukum Hudud. Sebab itulah kerajaan PAS Kelantan terus mengadakan perayaan Hari Hudud setiap tahun kerana tidak berupaya melaksanakan undang undang Islam itu disebabkan kuasa mutlak berada pada Kerajaan Persekutuan” (Laporan Mstar 22 Disember 2008). Harapnya kemanisan memperjuangkan “Kelantan Islamik” tidak akan pernah sirna dari memori kita semua. 
 
NAZMAN CHE IBRAHIM - HARAKAHDAILY 22/7/2019