19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Ihtifal Amal Islami SRITI Perak penuh warna warni

Berita
Typography

TAIPING: Ihtifal Amal Islami SRITI Negeri Perak telah berjaya dilaksanakan dengan meriah dan warna warni di Kompleks TM Taiping, di sini kelmarin.

Disertai 17 SRITI seluruh Perak, majlis melibatkan lapan acara iaitu nasyid, kalam jamaei, azan, khutbah, bercerita, pidato, tilawah dan hafazan dijalankan serentak di bilik berasingan.

Persiapan rapi setiap kontinjen menampakkan komitmen tinggi untuk memartabatkan pendidikan arus perdana berteraskan Islam agar seimbang keperluan dunia dan akhirat.

Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait menegaskan pihaknya mengorak langkah untuk mula menubuhkan SMITI pada tahun hadapan.

SRITI Genius Aulad dari Kawasan Bidor muncul juara keseluruhan, sementara kumpulan Solehatun Najah dari SRITI Hidayatul Qur'an, Lenggong menjadi johan acara kalam jamaei.

Sementara itu kumpulan Shoutul Wildan mewakili SRITI Al-Helmi, Bukit Gantang muncul johan kategori nasyid yang turut membuat persembahan penutup mengakhiri majlis.

Terdapat dua SRITI yang baharu mula beroperasi pada tahun ini iaitu SRITI Al-Istiqamah, Tambun dan SRITI Al Falah,Teluk Intan menyertai sebahagian acara bagi menimba pengalaman.

Majlis turut diserikan ceramah bersama PU Yeop pada tengah harinya, serta Forum Perdana sebelah malamnya bersama PU Thowi, Ustaz Shahrizan Hazime, Ustaz Syakir Nasoha dan persembahan Qasidah Shoutul Muhibbin Ibnu Sina. - HARAKAHDAILY 23/7/2019