17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Yayasan Darul Ta'lim perlu dana untuk terus berbakti

Berita
Typography
YAYASAN Darul Ta'lim, Kampung Sungai Limau, Bagan Baharu Ijok, Batu Kurau, Larut, Perak telah mula digagaskan pada tahun 1997, bertujuan mewujudkan sebuah pusat pengajian Islam kepada masyarakat setempat dan umum. Kompleks tarbiyah yang berkonsepkan pondok moden ini merupakan idea asal mantan Timbalan Presiden PAS, Almarhum Ustaz Hassan Shukri. 
 
Pengasas lain yang terlibat dalam usaha membangunkan kompleks ini antaranya ialah mantan Pesuruhjaya PAS Perak juga merupakan mantan Yang DiPertua PAS Kawasan Larut, Almarhum Ustaz Kamaruddin Awang Nasir. Turut terlibat adalah Senior Managing Director Kumpulan KL- Kepong, Haji Bakri Jamaludin serta Ustaz Mohd Rusly Ramli, Ustaz Mohd Zawawi Kamaruddin dan Ahli Jawatankuasa Yayasan Darul Ta'lim serta ahli-ahli PAS Larut.
 
Yayasan Darul Ta'lim juga mempunyai infrastruktur selain pondok remaja antaranya disediakan pondok buat warga emas dan asrama pelajar SMIDT. Usaha ini selari dengan hasrat penubuhan Yayasan Darul Ta'lim ini bagi mendidik masyarakat memahami Islam secara keseluruhan serta ke arah membina generasi Al Quran. 
 
Kompleks tarbiyah ini turut menawarkan pengajian kitab-kitab Turath dan Hafazan Al Quran. Pekarangan kompleks ini juga telah dibangunkan Sekolah Menengah Islam Darul Ta'lim (SMIDT) bagi pelajar 'Idadi, Thanawi, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi agama Malaysia (STAM).
 
Terkini, pihak yayasan memerlukan bantuan dan perhatian orang ramai bagi membaik pulih bumbung surau dengan keluasan 1,600 kaki persegi yang mengalami kerosakan serius dan perlu ditukar ganti segera. Pihak yayasan juga memerlukan jalan berturap agar lebih selesa digunakan oleh semua pihak yang hadir ke yayasan ini. 
 
Sumbangan dana orang ramai boleh disalurkan terus melalui akaun Maybank Islamic 5583-0551-7486 , atau hubungi Ustaz Firdaus di talian 019-6004963 bagi membantu melancarkan perbelanjaan kos penambahbaikan fasiliti yayasan ini. - HARAKAHDAILY 23/7/2019
IMG 20190723 WA0052
 
IMG 20190723 WA0051
 
IMG 20190723 WA0050
 
IMG 20190723 WA0048