19
Thu, Sep
43 Artikel Baru

Politik kotor atau baik; ubah tanggapan Undi18

Berita
Typography
SELAYANG: Tanggapan mengenai politik mesti diubah dalam mendepani suasana baharu untuk mendidik remaja 18 tahun bagi persiapan menjadi pengundi di dalam pilihan raya.
 
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tanggapan politik sesuatu yang kotor mesti diubah kepada politik sebagai urusan baik dan tanggungjawab.
 
Penegasan tersebut disuarakannya pada Table Talk membicarakan Undi 18 Tahun anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor di Dewan Mantop Training Centre, Rawang, di sini malam tadi.
 
Dewan Rakyat telah meluluskan RUU melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan menurunkan had umur pengundi pada pilihan raya dari 21 tahun kepada 18 tahun semasa sidang minggu lalu.
 
Bersama pada bicara itu adalah Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Rozmi Ismail dan juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Dr Muhamad Zuhaili Saiman.
 
Ustaz Afnan juga berkata, politik pada pandangan konvensional dijadikan manusia sekadar alat meraih kuasa dan keuntungan, sedangkan Islam meletakkan ia mengenai hamba dan khalifah.
 
Jelasnya, tanpa kewajiban selaku hamba dan khalifah menyebabkan kuasa dalam berpolitik diraih hingga berlakunya hal negatif seperti rasuah, video hanyir dan lainnya yang terjadi kini.
 
Ke arah membentuk persekitaran baik untuk remaja memahami politik, beliau menyeru masyarakat, politikus, ibu bapa, NGO dan media mesti berperanan mendidik dan bukan mengsensasikan.
 
Malaysia menjejak langkah banyak negara Komanvel dan ASEAN yang terlebih dahulu menurunkan had umur itu di mana ia menjadi sejarah kerana sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.
 
Program semalam turut terbuka buat penonton di dewan dan secara atas talian mengemukakan soalan kepada panel, selain dihadiri juga oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Selayang, Zaidy Abdul Talib. - HARAKAHDAILY 24/7/2019
IMG 20190724 WA0032