19
Thu, Sep
43 Artikel Baru

Hina Nabi berpotensi gugat keselamatan, keharmonian

Berita
Typography

SIK: Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik telah membuat laporan polis terhadap pemilik Facebook Wendy Loong yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam di Ibu Pejabat Polis Daerah Sik, di sini hari ini.

Laporan dibuat oleh Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir yang turut diiringi Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor, serta Adun Belantek, Ustaz Mohd Isa Shafie.

Menurut Shahiful, laporan ini dibuat kerana penghinaan terhadap agama Islam masih berlaku dan ianya bagaikan menjadi suatu trend sejak kebelakangan ini.

Kesali beliau, beberapa siri penghinaan terhadap Islam berlaku secara terbuka tanpa menjaga sensitiviti umat Islam yang merupakan majoriti penduduk di negara ini.

Tambah beliau, acap kali Islam dijadikan sebagai sasaran ejekan, kutukan dan penghinaan yang keterlaluan sehingga mengguris hati umatnya pasca era Malaysia Baharu ini.

"Menunjukkan betapa kerajaan kurang memberi perhatian dan lemah dalam menangani isu ini. Kita bimbang sekiranya isu ini tidak ditangani secara serius, penghinaan ini akan berleluasa dan berlarutan.

"Ini akan menyebabkan mereka bangkit melawan sehingga terjadinya perkara tidak diingini yang boleh mencetuskan kemudaratan kepada kaum lantas memporak-perandakan negara.

"Ini bukanlah sesuatu yang dimahukan semua pihak bahkan keharmonian kaum perlu dijaga dan dibajai agar ianya berkekalan," seru beliau.

Sebelum ini, Shahiful juga pernah membuat laporan polis mengenai penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W pada bulan Februari lalu di balai yang sama.

Shahiful juga menggesa kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia mendepani isu ini dengan lebih keras dan tegas supaya menjadi pengajaran kepada semua.

Dalam pada itu, Sanusi menyeru pengguna media sosial supaya menjaga adab di alam maya tanpa menyentuh perkara yang berkaitan Islam hingga boleh mencetuskan impak buruk kepada negara.

Tegas beliau, ruang media sosial yang bersifat terbuka bukanlah satu tiket membolehkan pengguna menghina mana-mana agama lebih-lebih lagi agama Islam yang menjadi agama rasmi Persekutuan.

"Kita menyaksikan bagaimana siri penghinaan terhadap Baginda Nabi S.A.W. dan Islam semakin menjadi-jadi selepas PH memerintah negara, bahkan mereka semakin berani menyentuh isu sensitif ini secara terbuka dan berkala," bidasnya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan rapi supaya pelaku tersebut dikenakan hukuman yang berat.

Ia juga kata beliau, supaya hukuman itu nanti menjadi pengajaran kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba mengganggu-gugat keselamatan negara ini. - HARAKAHDAILY 24/7/2019

IMG 20190724 WA0050