19
Thu, Sep
39 Artikel Baru

Mengapa PJ bukan MB, MB bukan PJ? (Bah.1)

Berita
Typography
TAHNIAH kepada barisan kepimpinan PAS Terengganu yang baharu sahaja mengumumkan senarai organisasi baharu mereka. Bagi yang kurang biasa dengan politik PAS, apabila selesai pemilihan di Muktamar PAS Pusat, Presiden akan bermesyuarat memilih Pesuruhjaya (PJ) PAS negeri-negeri untuk sesi baharu selama dua tahun, sama ada mengekalkan yang lama, atau menggantikan dengan yang baru. PJ ialah lantikan dari Presiden, ia bukan melalui pemilihan sebagaimana organisasi PAS kawasan-kawasan dan cawangan-cawangan.
 
PJ Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang, sekali lagi diberikan kepercayaan bagi memimpin PAS Terengganu, setelah pertama kali dilantik pada Mei 2017 dahulu. Mungkin ada yang bertanya, kenapa saja tidak dilantik YAB DS Dr Ahmad Samsuri Mohktar, Menteri Besar Terengganu ke jawatan PJ, setelah beliau menunjukkan prestasi yang baik, setahun memimpin Terengganu? Atau pun kenapa PJ tidak menjadi MB? Betul juga, kenapa ya? Saya akan bawa anda menyusuri beberapa peristiwa yang telah berlaku sebelum PRU14. Ia agak panjang dalam dua siri. Dan insyaAllah anda akan memahami bagaimana situasi ini berlaku.
 
Ingin saya menegaskan di sini, bahawa saya menulis berdasarkan perbincangan, pengalaman, pengamatan saya dengan ahli-ahli politik PAS Terengganu. Saya tidak terlibat dengan mana-mana rahsia atau strategi parti yang mana mungkin secara tidak sedar tersentuh dalam tulisan ini. Jika ada, anggaplah bahawa ianya bersamaan dengan pengamatan dan di luar makluman saya. Dan saya tidak melibatkan apa-apa polisi parti dalam penulisan ini. Ia hanya sebagai perkongsian pengalaman saya. Saya cantumkan ‘puzzles’ yang saya ada dan saya persembahkan kepada anda semua.
 
Banyak isu tertumpu di Besut, yang mana ialah salah satu Parlimen dalam negeri Terengganu. Besut pernah jatuh ke tangan PAS beberapa kali, tahun 1959 diwakili Burhanuddin al-Helmy, 1964 Daud Samad dan 1999, Hassan Mohamed, menandakan Besut ada mempunyai akar umbi PAS yang kuat. Pada banyak PRU, antara faktor besar kekalahan PAS Terengganu ialah kerana Besut dan Setiu, tidak menyumbang apa-apa kerusi kepada PAS. Hal sama berlaku pada PRU13, lantas menjadikan kedudukan PAS 14 kerusi, PKR satu dengan BN hanya menang majoriti mudah 17 kerusi.
 
Oleh itu, PAS Terengganu menjadikan Besut sebagai penanda aras bagi kemenangan merampas Terengganu. Dan Besut ibarat bukit bagi BN Terengganu. Jika di kawasan bukit dinaiki air, maka kawasan rendah lain, pasti akan tenggelam. Ia agak sukar, tetapi ia bukan misi mustahil. Sebagaimana pendapat Dr Riduan Mohamed Nor, Besut gagal dikuasai PAS kerana kekurangan pusat ilmu Islam, bagi mereka mendapat maklumat berkaitan dengan Islam dan secara tidak langsung, akan menyukarkan memahami dan menyokong perjuangan PAS. Alhamdulillah beliau kini sudah berjaya mendirikan Pusat Tahfiz an-Nur milik beliau di Hulu Besut. Semoga usaha beliau diberkati Allah.
 
Ketika itu, kami dari media PAS Terengganu, menumpukan banyak berita-berita isu setempat dan pimpinan PAS berkisar mengenai Besut bagi membuka jalan memenangi hati rakyat. Pada Februari 2017, telah berlangsung program HARAP 3.5 di Besut. Mengejutkan apabila kehadiran pengunjung melebihi jangkaan PAS. Sudah tentu juga kutipan dermanya banyak, dan Besut mencatatkan kutipan derma tertinggi berbanding Program HARAP di kawasan lain. Ini adalah satu petunjuk yang sangat baik.
 
PAS Terengganu ketika itu juga menghadapi sedikit masalah iaitu siapakah yang akan diangkat menjadi Menteri Besar. Desakan itu datang termasuk dari kalangan kakitangan awam yang menyokong PAS serta mahu berkempen kepada rakan sejawat mereka. Secara kebetulannya, PAS Terengganu yang dahulunya mempunyai pimpinan ‘heavyweight’ Pusat yang hebat-hebat seperti Presiden PAS, almarhum Dato’ Harun Taib, Dato’ Mustafa Ali, almarhum Dato’ Abu Bakar Chik dan Dr Abu Bakar Abdullah yang semuanya menduduki kerusi AJK PAS Pusat ketika zaman mereka, kini menghadapi kemarau pelapis.
 
Pada zaman itu, PAS Terengganu boleh bertukar-tukar PJ secara bebas. Adakalanya Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi, kemudian digantikan dengan Dato’ Harun Taib. Boleh juga Dato’ Mustafa Ali mengambil alih kepimpinan PAS Terengganu. Pertukaran mereka itu, bukanlah sebagai penurunan jawatan. Tiada istilah itu dalam PAS kerana ia adalah strategi semasa. Mereka mempunyai kekuatan tersendiri, karisma kepimpinan yang baik dan disegani ramai.
 
Sekarang, bukan pelapis PAS yang ada tidak hebat, tetapi personaliti yang lama sangat menyerlah. Jadi pandangan agak tidak seimbang kerana rakyat masih melihat yang lama sebagai bandingan. Bukan sesuatu yang mudah mengikis jenama lama. Mungkin setelah melihat keghairahan penduduk Besut dan juga ingin menjadikan Besut sebagai sasaran utama, Presiden telah melantik Dato' Husain Awang sebagai PJ yang baharu. Ia sebenarnya agak memeranjatkan ahli-ahli PAS ketika itu kerana yang paling menjadi perhatian ialah faktor usia beliau yang agak lanjut.
 
Ketika saya membuat liputan berkenaan lawatan beliau ke Parlimen Hulu Terengganu setelah dilantik menjadi PJ dan saya dapati agak ramai orang hulu, mengenali beliau. Beliau mendapat sambutan yang agak baik selepas solat Jumaat di Masjid Binjai Kertas. Memberi maksud, pilihan itu betul, beliau dikenali dan disegani, tetapi segalanya masih jauh dan berliku bagi beliau, untuk membawa bahtera PAS Terengganu yang sangat besar itu, menakluk Terengganu. Apatah lagi rakan sezaman beliau sudah ramai yang tiada atau uzur.
 
Ramai kawan-kawan saya meminta respon saya setelah diisytiharkan Dato’ Husain sebagai PJ Terengganu. Antara beberapa soalannya ialah mengapa dipilih PJ yang agak berumur, berbanding YB Ustaz Satiful, PJ sebelum beliau? Saya dengan yakin mengatakan bahawa, faktor menawan Besut, adalah menjadi keutamaan PAS buat masa itu. Dato’ Hussain ialah bekas Speaker Dun Terengganu, berasal dari Besut, juga dilihat sebagai sarat dengan pengalaman politik dan dekat dengan Presiden.
 
Ramai kawan saya bersetuju, tetapi timbul pula soalan lain, adakah beliau mampu menarik golongan muda, terutama yang sangat laju dengan teknologi terkini? Saya tidak mampu menjawab, tetapi yakin dengan perancangan PAS bagi merampas kembali Terengganu melalui Dato’ Husain. Dan kemudiannya barulah saya melihat lantikan itu sebenarnya adalah sebagai pengimbang kepada semua lapisan kepimpinan PAS Terengganu setelah ramai ulamak yang dahulunya memimpin, telah pergi buat selama-lamanya. Dato’ Husain dilihat tokoh yang dihormati dan diterima oleh semua.
 
Pada mulanya, agak melucukan, mungkin bagi menarik perhatian orang muda, Dato’ Husain tidak lagi bertongkat, segak berjalan setelah dilantik menjadi PJ. Tetapi kemudian saya melihat, itulah semangat pejuang. Mereka menerima tanggungjawab dengan penuh kesetiaan. Sebagaimana Musyidul Am Ustaz Hashim Jasin yang agak uzur sebelum dilantik, menjadi lincah ke sana ke mari selepas dilantik, untuk menjalankan tanggungjawab. Ulamak bagai mendapat tonik apabila diarahkan bertugas demi agama, bersemangat. Mereka mahu mati dalam perjuangan. Itulah niat mereka.
 
Saya, pada ketika berkesempatan ke Besut mengikuti program parti, akan mengambil peluang bertanya khabar Besut daripada barisan kepimpinan PAS Besut, antaranya Ustaz Wan Azhar, Cikgu Solah, Ustaz Zulkifli, almarhum Ustaz Hawari. Masing-masing berkeyakinan tetapi ada sedikit perasaan bercampur baur adakah Besut boleh menyumbang kerusi. Antara halangan yang utama ialah penduduk Besut masih ramai yang mengagungkan Dato’ Seri Idris Jusoh. Idris dikatakan boleh menimbulkan rasa hormat penduduk Besut kepada BN. Satu ancaman serius bagi PAS. Dan benar, Dr Riduan Mohamed Nor tumbang kali kedua kepada Dato’ Seri Idris dengan majoriti hampir 5 ribu.
 
PAS Besut juga bertambah kacau dengan adanya spesis ‘nyamuk’ yang sering mengganggu organisasi. Siapa lagi kalau bukan bekas ahli-ahli PAS yang telah menubuhkan jemaah baru. Gangguan seperti ini, menyukarkan lagi tugas-tugas PAS Besut. Seingat saya, Jerteh dan Kota Putera menjadi harapan sebagai penyumbang kerusi kepada PAS Terengganu. Di Setiu, Jabi kelihatan agak bertenaga dengan kerja keras Dr Azman Ibrahim yang setiap hari berulang dari Kota Bharu ke Jabi. Persempadanan semula kawasan mengundi oleh SPR juga menyempitkan lagi peluang untuk PAS menang.
 
Secara teorinya, jika dua atau tiga kerusi dari Besut dan Setiu berjaya dirampas, PAS akan menang di Terengganu. Alhamdulillah, tanda-tanda kemenangan kerusi di Besut semakin jelas apabila Mahadi Musa Adun Kota Putera ketika itu, dirakam sedang mengugut penerima bantuan kerajaan dengan menyuruh mereka menyokong BN, atau bantuan disekat. Video itu tersebar, menambah benci rakyat kepada BN. 
 
Dicampur dengan gelombang penolakan BN atas apa yang dikatakan sebagai penyelewengan ketika itu, PAS Terengganu menghidu kejayaan. Sekarang usaha perlu lebih kuat. Walaupun begitu, keputusan PRU menunjukkan keseluruhan di Besut, BN masih menguasai dengan tiga Dun dan satu Parlimen. Dua daripada Dun itu dimenangi dengan majoriti melebihi 1,000 undi.
 
Bersambung....
 
MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
24 Julai 2019 - HARAKAHDAILY 25/7/2019