19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Hina Nabi: Lebih 20 laporan polis dari Pulau Pinang

Berita
Typography

PULAU PINANG: Solidariti umat telah menzahirkan isyarat amaran terhadap sikap biadab pemilik akaun Facebook Wendy Loong yang menyiarkan karikatur menghina Rasulullah S.A.W dan Allah S.W.T.

Sehubungan itu, 19 laporan polis telah dibuat secara rasmi oleh pihak PAS Kawasan terutama Dewan Pemuda PAS Kawasan tidak termasuk NGO dan NGI dari seluruh negeri ini sejak dua hari lalu.

Di KEPALA BATAS, dua laporan dikemukakan oleh Exco Pemuda PAS Kepala Batas iaitu Muhammad Daneal Yusoff dan Nor Firdaus Mohd Zain di Ibu Pejabat Polis Daerah Kepala Batas, di sini kelmarin.

Ketua Pemuda PAS Kepala Batas, Ustaz Muhammad Azzam Abdullah yang turut hadir menggesa tindakan tegas diambil kepada pelaku supaya perkara seperti itu tidak berulang lagi selepas ini.

Manakala di TASEK GELUGOR, PAS Tasek Gelugor bersama Dewan Pemuda PAS berhimpun bersama Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Pulau Pinang dan masyarakat setempat di Balai Polis Telok Air Tawar, di sini semalam.

Pidato mengecam penghinaan itu juga dipertegaskan dari ucapan disampaikan Yang DiPertua dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Tasek Gelugor, Sobri Salleh dan Ustaz Asril Hafiz Hashim serta Timbalan Pengerusi UMMAH, Dr Zaki Ibrahim.

Turut sama dalam solidariti itu adalah Adun Umno Sungai Dua, Dato' Muhamad Yusoff Mohd Noor dan Ketua Pemuda Umno Tasek Gelugor, Ahmad Afiffuddin Muhammad Said.

Di PERMATANG  PAUH pula, laporan polis dipimpin Ketua Pemuda PAS Permatang Pauh, Ustaz Mohamad Fawwaz Md Jan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda malam tadi.

Beliau yang diiringi dan diberi sokongan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS mendesak siasatan menyeluruh dan tindakan segera dilakukan pihak polis.

Yang DiPertua PAS Permatang Pauh, Omar Hasan yang turut bersama menyuarakan peringatan agar Menteri Agama supaya lebih pro-aktif menangani tindakan merobek kesucian Islam era pemerintahan PH.

Suara penegasan sama turut dilontarkan Adun Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah yang mahu tindakan dan hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku atas kebiadaban menghina Islam.

Sementara di BALIK PULAU, lima laporan dibuat oleh PAS Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Balik Pulau serta Umno Bahagian dan Pergerakan Pemuda Umno Balik Pulau.

Laporan oleh pimpinan PAS Balik Pulau itu diketuai Timbalan Yang DiPertua, Mohd Taufik Hashim dan Ketua Pemuda, Fahmi Ahmad serta Ketua Muslimat, Ustazah Siti Khadijah Othman.

Manakala Umno Balik Pulau diwakili oleh Ketua Bahagian, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah di mana mereka semua menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bertindak.

Tegas mereka, tindakan keras wajar dikenakan kepada pihak yang melakukan penghinaan sedemikiam kerana ia boleh menyebabkan sentimen kemarahan kepada sesiapa sahaja.

Di BUKIT MERTAJAM pula, lima laporan polis dibuat bersama PAS Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Bukit Mertajam serta Surau Taman Markisa dan Umno Bahagian Bukit Mertajam.

Laporan diketuai oleh Ketua Penerangan PAS Bukit Mertajam, Azmi Jamri itu telah dibuat dengan kehadiran bersama semua mereka dan sekitar 200 penyokong di Balai Polis Machang Bubuk, di sini semalam.

Pimpinan PAS Bukit Mertajam yang hadir adalah Timbalan dan Naib Yang DiPertua, Hussien Sazlan dan Adnan Mohd Yusof serta Naib Ketua Pemuda, Mohamad Rusdi Abdul Rahman dan Ketua Muslimat, Noriah Ibrahim.

Manakala pimpinan Umno Bukit Mertajam terdiri dari Timbalan Ketua, Fauzi Sharif dan Ketua Penerangan Pemuda, Nickman Md Tahar, selaim Ketua Kariah Taman Markisa, Zakaria Abdul Rahman.

Di NIBONG  TEBAL, laporan dibuat Ketua dam Naib Ketua Pemuda PAS Nibong Tebal, Ustaz Zulazhar Mohamad dan Abdul Mushawwir Abdul Rashid di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Jawi, di sini semalam.

Mereka diiringi Yang DiPertua PAS Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff selain turut disokong sama oleh Pemuda Umno Nibong Tebal dan NGO antaranya Belia 4B dan Perkasa.

Ketua Ulamak PAS Nibong Tebal, Ustaz Rijaluddin Yahya menyifatkan kesatuan umat berhimpun membantah penghinaan itu adalah satu pembuktian cinta kepada Rasulullah S.A.W.

Nor Zamri pula melahirkan rasa kesal atas kejadian berulang kali ini yang disifatkannya lantaran Kerajaan PH tidak membela secara serius isu sensitiviti dan kemuliaan agama Persekutuan ini.

Terdahulu di BAYAN BARU, tiga laporan polis dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, PAS Bayan Baru dan Dewan Pemuda PAS Bayan Baru di Balai Polis Bayan Baru, malam kelmarin.

Sementara di JELUTONG, dua laporan polis dibuat masing-masing oleh Dewan Pemuda PAS Jelutong dan Dewan Pemuda PAS Tanjong di Balai Polis Jalan Petani, semalam.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden sebelum ini mengarahkan semua Pemuda PAS Kawasan-kawasan seluruh negeri ini membuat laporan polis dan dijangka akan menyusul lagi beberapa kawasan malam ini. - HARAKAHDAILY 25/7/2019

IMG 20190725 WA0106

 

IMG 20190725 WA0098

 

IMG 20190725 WA0093

 

IMG 20190725 WA0090

 

IMG 20190725 WA0087