26
Wed, Jun
13 Artikel Baru

Selamat bermuktamar wahai pemuda

Berita
Typography

MUKTAMAR Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ke-58 yang bertemakan 'Mara Menuju Cita' pada kali ini mengetengahkan konsep padi di mana negeri Kedah cukup sinonim dengan 3P iaitu PAS, padi, dan pondok.

Bagaimanapun, DPPM sepakat mengambil konsep padi yang mana gimik pelancaran nanti berkaitan padi seperti memotong padi, banting padi dan seumpamanya.

Menurut Setiausaha merangkap Pengarah Muktamar DPPM  Afnan Hamimi Taib Azamudden, Muktamar Pemuda akan berlangsung pada Khamis, 27 April dan para perwakilan akan membuang undi pada sebelah petang antara jam 5.00 hingga 7.00 petang bagi memberi ruang kepada perwakilan yang masih bekerja pada pagi Khamis itu.

"Rabu malam kita sudah mula buka kaunter pendaftaran untuk perwakilan. Esoknya Khamis kita mulakan Muktamar dengan perasmian oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Kalau ikutkan jadual sebelum ini lepas perasmian terus buang undi, tapi kita anjakkan ke jam 5 hingga 7 petang," katanya kepada Harakahdaily.

Di dalam ucaptama yang akan disampaikan oleh Ketua DPPM Nik Abduh Nik Abdul Aziz akan mengupas hala tuju dan matlamat PAS dengan mengulas bait-bait lagu tema PAS 'Berjihadlah'.
 
Pada kali ini, Afnan berkata, pakaian mereka tidak ada tema khusus seperti tahun lepas yang mengenakan persalinan pahlawan Melayu tetapi kali ini pihaknya mengambil semangat RUU 355 dengan mengenakan tema berwarna ungu.

Menurutnya lagi, buku laporan DPPM untuk muktamar kali ini akan dipersembahkan dalam bentuk info grafik yang ada gambar rajah, peratus pencapaian hala tuju dan graf pencapaian.

"Lebih kepada laporan mirip pengurusan korporat. Tidak lagi hanya memaparkan senarai aktiviti oleh lajnah-lajnah seperti kebiasaan. Ini lebih memudahkan perwakilan untuk menilai dan membahas, ruang mana yang masih perlu ditambah baik dan diperbaiki," tambahnya.    

Selain itu, katanya buat julung kalinya pencapaian prestasi Dewan Pemuda PAS negeri-negeri  juga turut dipaparkan menggunakan kaedah yang sama.

Katanya, ia bertujuan membuktikan bahawa pengurusan DPPM telah mewujudkan inovasi baru, menutup segala tohmahan yang mengatakan PAS adalah parti pak lebai, patah balik ke belakang, dan tidak profesional.
 
Sementara itu, beberapa wakil Ngo dan parti politik peringkat antarabangsa menyatakan kehadiran mereka pada Muktamar DPPM kali ini antaranya, JI Pakistan Youth, Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Asian Federation Muslim Youth (AFMY), dan Hamas.

Persiapan muktamar kali ini sudah hampir 90 peratus siap sejak empat bulan lepas, namun menurut Afnan mereka masih memerlukan sumbangan tajaan bagi melancarkan muktamar kali ini.

Mereka yang berminat untuk menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Dewan Pemuda PAS Pusat di nombor akaun 14069010014143. Sila maklumkan kepada Bendahari DPPM Muhtar Suhaili di talian 0163479717 selepas 'bank-in'. – HARAKAHDAILY 26/4/2017