19
Thu, Sep
39 Artikel Baru

Presiden seru laksana ibadah korban di Indonesia

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru agar ibadah korban yang diadakan di luar negara supaya mengutamakan negara jiran terdekat Malaysia.
 
Jelas beliau, korban adalah ibadah yang merupakan salah satu sumbangan kepada masyarakat dan tarikan dakwah sesama Islam serta masyarakat umum.
 
Oleh itu, beliau menyeru semua pihak atau individu yang mampu menganjur dan memberikan sumbangan korban agar tidak terhad di dalam negara, tetapi juga dikembangkan di negara lain.
 
"Kepada kita, sudah tentulah negara jiran tetangga lebih diutamakan dan lebih digalakkan. Kerana kebajikan kepada jiran tetangga ini mendapat kelebihan korban itu dan kelebihan merapatkan diri dengan jiran. Apalagi secara khusus, jiran kita daripada Indonesia.
 
"Merupakan rakyat serumpun, seagama dan sekeluarga. Bahkan ada hubungan keluarga yang banyak antara Malaysia dan Indonesia ini. Sudah tentulah kita diberi peluang satu lagi iaitulah hubungan silaturrahmi," seru beliau.
 
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Nabi Muhammad S.A.W sendiri menganggap hubungannya dengan rakyat Mesir adalah silaturahim kerana ibu kepada Ismail A.S Hajar A.S berasal daripada Mesir.
 
Hinggakan katanya, Nabi S.A.W pernah berwasiat kepada para Sahabat R.A, sekiranya mereka pergi ke Mesir, agar dilakukan kebajikan terhadap rakyat Mesir, kerana mereka ada hubungan keluarga dengan Baginda.
 
"Hubungan kita dengan Indonesia ini lebih rapat daripada itu lagi. Bahkan peringkat terlalu dekat, ada saudara-saudara pupu, macam-macam di seluruh Nusantara. Sebab itu, saya sangat galakkan supaya NGO kita kembangkan kebajikan korban ini dengan negara jiran Indonesia.
 
"(Akan) mendapat tiga kelebihan, kelebihan korban, kelebihan berhubung baik dengan jiran, dan silaturrahmi. Sudah tentulah fadhilatnya lebih daripada kita beri kepada tempat-tempat yang lebih jauh, yang jauh. 
 
"Dan khususnya ialah untuk membantu rakan-rakan kita dalam Gerakan Islam PKS, Parti Keadilan Sejahtera, merupakan rakan kita di Indonesia. Dengan sebab itu saya minta supaya pihak kita melakukan segala kemudahan bagi menyalurkan sumbangan ini," harap beliau.
 
Sehubungan itu, Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) menyahut seruan tersebut dengan mengadakan Misi Korban dan Akikah 1440 di Surabaya, Indonesia pada bermula hari kedua Aidil Adha nanti menyantuni saudara di sana.
 
Pelaksanaan korban dan akikah di Surabaya ini dibuka penyertaan umum dengan harga RM6,400 bagi seekor lembu dan RM915 untuk satu bahagian, manakala kambing RM800 seekor.
 
Pendaftaran korban atau akikah ini boleh dibuat menerusi transaksi ke akaun Maybank 5640 7061 2333 PASRelief atau 5640 7061 1352 Tabung Kemanusiaan Antarabangsa.
 
PASRelief juga pada Aidil Adha nanti akan turut melaksanakan misi sama untuk umat Islam mangsa perang di Mindanao, Filipina dan Muslim Rohingya di Arakan, Myanmar dan kem pelarian perang di Bangladesh.
 
Sebarang pertanyaan boleh hubungi 01120775802 (Haji Yunus), 0183120900 (Izwan), 0125969220 (Haji Sanusi) atau Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah (0194500660). 
 
"InsyaAllah akan dilaksanakan. Dan saya berseru kepada semua pihak, sila mengambil peluang ini, peluang kebajikan setahun sekali yang diberi Allah Taala kepada kita. 
 
"Semoga Allah Taala menerima segala sumbangan dan ibadat kebajikan kita. Dan Allah Taala eratkan hubungan silaturrahmi kita dengan sahabat-sahabat kita," ujar mantan Naib Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia itu. - HARAKAHDAILY 26/7/2019
Korban
 
IMG 20190713 WA0025
 
IMG 20190713 WA0026