21
Sat, Sep
28 Artikel Baru

Wan Ji ditatang, Nabi dihina: Mana pembela?

Berita
Typography
UMAT ini sungguhpun tidak pernah menatap wajah dan bertemu batang tubuh Rasulullah S.A.W, tetapi keimanan dalam diri membuktikan kecintaan mereka kepada Baginda. Lantaran itulah tidak sedikit merasa cedera, sakit dan marah tatkala kehinaan dilemparkan mencemari kemuliaan Baginda.
 
Anehnya, sehingga detik ini, tiada satupun suara dari mereka yang berkuasa memberi nasihat mahupun peringatan atas perbuatan melampau dan mengaibkan maruah Nabi umat ini. Bahkan, tidak menjadi satu rahsia lagi apabila hal ehwal agama Islam dicampur tangan sewenangnya, diperlekeh dan dipermainkan.
 
Soalnya, kenapa ianya terjadi dan semakin menjadi-jadi sejak negara ini bertukar teraju pemerintahan kepada PH pasca PRU? Keceluparan, kebiadaban dan kurang ajar ini hingga menjadi keberanian menghina tonggak tertinggi agama, yakni Allah S.W.T dan pesuruh-Nya, Rasulullah S.A.W.
 
Di mana para pembela terkuat untuk mencegah atau bertindak dengan tangan atas kuasa dimiliki dan kepercayaan yang dimandatkan? Apakah jawatan telah jadi kebanggaan, keselesaan dan kemudahan? Atau tangan diikat terbelenggu kerana tunduk patuh pada kepentingan yang dikhuatiri hilang?
 
Jika demikian jadinya, tidak hairanlah kesucian agama umpama buih di lautan yang begitu mudah diceroboh, malah menunggu saat ia terbuka untuk ditindas dan dihabiskan. Petanda itu sudahpun zahir nyata, apabila suara umat ini dilayan secara sengketa dan diabaikan, lalu membibitkan fitnah-fitnah perpecahan.
 
Akhirnya siapa yang untung dan diuntungkan? Sebaliknya individu yang masyhur diketahui umat telah menyinggung tonggak, kuasa dan institusi agama ini boleh dibentang jalan mudah. Diberi surat kebenaran dan dibela kononnya menyuburkan ilmu pengetahuan. Tiba-tiba segalanya menjadi sewenang-wenang dilakukan.
 
Semua 'Rule of Law' yang diperaturan diperundangkan dengan catatan bertulis di mana sebelumnya dibentang bahas, dilulus dan diwartakan, akhirnya 'dilepas bebaskan' oleh kuasa politikus? Apa nilainya Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara jika semua itu akhirnya dibakulsampahkan.
 
Ingatlah kuasa yang Allah dipenggalkan kepada makhluk; Dia berikan kerajaan kepada orang yang Dia kehendaki dan Dia cabut kerajaan dari orang Dia kehendaki. Dia muliakan orang kehendaki-Nya dan Dia hinakan orang yang Dia kehendaki. Di tangan Dia segala kebajikan. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
 
"Islam Memimpin Perpaduan"
"Demi Islam"
 
USTAZ HAJI AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka - HARAKAHDAILY 27/7/2019