17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Audit: 7 jabatan di Kelantan cemerlang

Huzaimy berucap pada program jati diri Ladang Rakyat

Berita
Typography

BACHOK: Tujuh jabatan di negeri ini mendapat penarafan lima bintang (cemerlang) pada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1.

Jabatan terbabit iaitu Jabatan Air Kelantan mencatat 96.2 peratus, Jabatan Pengairan dan Saliran (95.94 peratus), Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat (95.72 peratus), Jabatan Kehakiman Syariah (95 peratus).

Selain itu Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri (94.64 peratus), Pejabat Pembangunan Negeri (93.80 peratus) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok (93.51 peratus).

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Huzaimy Che Hussin berkata, Kelantan turut menduduki tangga kedua selepas Sarawak dalam usaha menyelesaikan sebarang teguran yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1.

“Ini bermaksud kalau audit memberi teguran, sebarang masalah akan diselesaikan atau diperbaiki dengan cepat.

"Kita akan melihat lagi sehingga benar-benar cemerlang di semua jabatan supaya dapat dipastikan tiada teguran audit dalam pengurusan kewangan jabatan di Kelantan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program jati diri peserta Ladang Rakyat di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Pantai Irama di Kampung Telok di sini, kelmarin.

Jabatan Audit Negara dalam laporan terbaru menegur tiga agensi kerajaan negeri iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). – HARAKAHDAILY 27/7/2019