17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Konvokesyen Guru PASTI, 854 terima diploma

Berita
Typography
ALHAMDULILLAH atas segalanya. Tahniah dan syabas kepada 854 orang Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) seluruh negara yang telah menerima Diploma Perguruan PASTI Malaysia. Guru-guru yang telah menyelesaikan siri Kursus Latihan Perguruan PASTI yang berlangsung selama 3 tahun setengah ini menerima Sijil Diploma masing-masing sempena Istiadat Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia Kali Ke-11.
 
Majlis tersebut sedang berlangsung di Hotel De Palma, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan bermula semalam 26-28 Julai 2019 bersamaan 23-25 Zulkaedah 1440H. Sidang Pertama malam tadi telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin, manakala Sidang Kedua hari ini telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung PAS YB Dato’ Takiyuddin Hassan dan in shaa Allah Sidang Ke-3 esok akan disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor YB Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi.
 
Turut hadir Ketua Sektor Pendidikan DPPM Sdr Muhtar Suhaili As-Sarawaki, Ketua Pengarah PASTI Malaysia Ustaz Syarhan Humaizi Halim, Timbalan-timbalan Ketua Pengarah, Ahli Jawatankuasa Harian, Ahli Jawatankuasa DPPM, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Selangor, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PASTI Malaysia, Majlis Guru PASTI Malaysia, Pengerusi-pengerusi Negeri dan penggerak-penggerak PASTI.
 
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Surah Al-Ma'idah ayat 3:
الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
"Pada hari ini orang-orang kafir telah berputus asa untuk (mengalahkan) agama kalian, sebab itu janganlah kalian takut kepada mereka dan takutlah kepadaKu. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kalian agama kalian, dan telah Kucukupkan kepada kalian NikmatKu dan telah Kuredhai Islam itu jadi agama bagi kalian."
 
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam:
كُلُّ مَوْلُوْدٍ يُوْلَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ
“Setiap anak yang lahir dilahirkan di atas fitrah, maka kedua orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi, Majusi, atau Nasrani.”
 
Guru-guru PASTI yang diraikan pada hari ini adalah insan pendidik mulia dan terbaik! Serendah-rendah pendidikan bermula dari usia kanak-kanak sangat penting terutamanya Fardhu 'Ain kerana inilah asas menumbuh dan menyuburkan benih-benih generasi umat Islam.
 
Sekali lagi, ribuan tahniah dan syabas kepada guru-guru PASTI yang bergraduat. Semoga Allah memberkati segala usaha guru-guru samada dalam menimba ilmu atau mencurahkan ilmu yang diperolehi. Teruskan usaha mendidik serta mengasuh anak-anak PASTI dalam usaha kita untuk memenangkan Islam di negara tercinta ini.
 
VISI DAN MISI PASTI
 
VISI PASTI: Melahirkan insan soleh pintar di Malaysia melalui pendidikan pra-sekolah sebagai elemen terpenting.
 
MISI PASTI: Meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengurusan serta kuantiti PASTI di Malaysia bagi menjadikan PASTI pilihan utama kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam.
 
FALSAFAH PENDIDIKAN PASTI
 
Satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek sahsiah, keilmuan dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada Islam, Iman dan Ihsan.
 
Mengambil kira potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognotif, psikomotor, bahasa, sosio-emosi dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk di dalam diri tunas Islam.
 
Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang  cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya diredhai oleh Allah SWT di dunia dan di Akhirat. - HARAKAHDAILY 27/7/2019