19
Thu, Sep
39 Artikel Baru

Politikus lidah bercabang atau sudah taubat?

Berita
Typography
PEMIMPIN DAP selalu bersikap talam dua muka apabila umat Islam bangkit menunjukkan sikap penentangan terhadap isu yang tidak menyebelahi mereka. 
 
Terbaru ialah kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengutuk hantaran Facebook Wendy Loong yang menghina Nabi Muhammad seperti dilapor oleh sebuah portal berita atas talian semalam. 
 
Fakta jelas membuktikan bahawa kenyataan pemimpin DAP itu hanya untuk mengelabui mata umat Islam setelah hampir 500 laporan polis dibuat di seluruh negara dan selepas empat hari insiden biadab itu berlaku. 
 
Bukan menjadi suatu rahsia isu penentangan DAP terhadap Islam. Penulis sekadar mengulas tulisan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff bertarikh 31 Januari 2017 bagi menggambarkan sikap Lim Kit Siang.
 
Dr Tan Seng Giaw pada 27 September 2008 mempersoalkan di Dewan Rakyat keperluan melaungkan azan melalui pembesar suara yang disifatkan mengganggu bukan Islam. Lim Kit Siang diam. 
 
Tony Pua pada 15 Februari 2014 mempersoalkan fatwa larangan ke atas umat Islam menyambut Hari Valentine. Lim Kit Siang diam. 
 
Datuk Ngeh Koo Ham pada 7 Jun 2014 mengeluarkan kenyataan dan diikuti ucapan sama di Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014 supaya umat Islam diberikan kebebasan keluar Islam (murtad). Lim Kit Siang diam. 
 
Chong Eng pada 9 Februari 2015 mengkritik kewajipan wanita Muslim menutup aurat. Lim Kit Siang diam. 
 
Nga Kor Ming pada Disember 2015 menyindir purdah yang dipakai oleh sebahagian wanita Islam sambil menyifatkan cadangan pramugari MAS memakai pakaian menutup aurat sebagai ‘pemimpin Melayu otak cacat’. Lim Kit Siang diam. 
 
Damian Yeo Shen Li pada Februari 2016 mempersoalkan sama ada dosa penganut Islam terhapus bila menjejakkan kaki ke Makkah. Lim Kit Siang diam. 
 
Pemimpin DAP Johor, Suppiah Ramakrishnan pada Mac 2016 turut mempersoalkan hal serupa di media sosial. Lim Kit Siang diam. 
 
Teresa Kok pada 22 Julai 2016 mempersoalkan kewajaran Exco Hal Ehwal Agama Selangor mengarahkan semua masjid di Selangor mengadakan solat hajat memohon konsert Selena Gomez dibatalkan. Lim Kit Siang diam. 
 
Apabila Lim Kit Siang bersuara,  pada 1 Februari 2014 Lim Kit Siang mempertikai kandungan khutbah Jumaat yang menyebut perpecahan umat Islam disebabkan hasutan umat Kristian dan Yahudi.
 
Apabila Lim Kit Siang bersuara, pada 10 Mac 2019, Lim Kit Siang mempertikai dan menyifatkan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara terhadap Alister Cogia, pemilik akaun Facebook Ayea Yea yang menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W sebagai keterlaluan. 
 
Kini apabila Lim Kit Siang bersuara mengutuk hantaran Facebook Wendy Loong yang menghina Nabi Muhammad, adakah bermaksud beliau sudah bertaubat? Atau mungkin DAP sudah mengubah perlembagaan parti mereka? 
 
Sama-sama kita nantikan jawapan daripada 'terompah' kiri dan kanan DAP. - HARAKAHDAILY 28/7/2019