17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Piala FA: Pemuda PAS Kedah ucap tahniah

Berita
Typography

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan bola sepak negeri ini (Helang Merah) yang telah berjaya membawa pulang Piala FA ke bumi Jelapang Padi setelah menewaskan pasukan Perak 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Ketuanya, Ustaz Nurul Amin Hamid berkata kemenangan itu cukup berharga dan bermakna buat rakyat Kedah dan sekali gus melonjakkan negeri ini sebagai pasukan pilihan apabila pernah meraih gelaran juara pada 1996, 2007, 2008 dan 2017.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas usaha gigih pasukan bola sepak Kedah (Helang Merah) kerana berjaya ‘merampas semula’ piala yang pernah dimenanginya dua tahun lalu. Kemenangan ini sekali gus melayakkan Kedah ke Liga Juara-Juara Asia (ACL)," ujarnya.

Tidak keterlaluan katanya, Kedah persis padi yang makin berisi semakin menunduk, walaupun berhadapan dengan perang psikologi yang dahsyat, tetapi sentiasa bersikap merendahkan dan dalam masa yang sama  berani, bersemangat waja serta pantang kalah.

Justeru itu, katanya semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan itu memperoleh kemenangan di saat-saat akhir sangat memberikan inspirasi terutama kepada anak muda.

"Semoga dengan kejuaraan kali ini dapat melonjakkan lagi Kedah ke persada dunia dan terus menempa kejayaan pada masa akan datang," sambungnya lagi. – HARAKAHDAILY 28/7/2019