19
Thu, Sep
39 Artikel Baru

Titik mula perkukuh Pemuda Gagasan Sejahtera

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pertemuan antara sayap pemuda Gagasan Sejahtera (GS) yang dibarisi oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) telah menjadi titik mula dalam memperkukuhkan hubungan antara pemuda GS.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Shahir Adnan berkata, IKATAN bersama-sama di dalam Gagasan Sejahtera (GS) ingin memperkukuhkan Pemuda GS dan blok pembangkang.

Menurutnya, usahasama yang telah dibincangkan dalam mesyuarat menggariskan beberapa program untuk jangka masa pendek dan panjang.

“Jika kita lihat anak muda merasa tertekan dan terbeban dengan dasar-dasar kerajaan hari ini.

“Oleh itu, kita akan bentangkan kertas kerja demi memperjuangkan nasib anak muda,” ujarnya pada sidang media GS di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda BERJASA turut komited untuk bersama-sama di dalam Gagasan Sejahtera dari awal sehingga kini demi mencapai negara yang aman sejahtera.

Menurut ketuanya, Iqbal Hakim Abdul Razak, negara akan menjadi makmur jika pemimpin memperjuangkan isu-isu anak muda secara bersama.

“Sudah pasti kita dapat mewujudkan keadaan yang lebih stabil seperti yang diharapkan,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 28/7/2019