19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Pemuda Gagasan Sejahtera umum permuafakatan

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia, Pemuda BERJASA dan Pemuda IKATAN setuju untuk mengukuhkan Gagasan Sejahtera dengan menggandakan usaha melebar, membina dan memperkukuhkan hubungan permuafakatan bersama Umno, dan komponen parti BN yang lain seperti MCA dan MIC.
 
Ia termasuk, Gabungan Parti Sarawak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kelab-kelab, serta persatuan anak muda yang merangkumi pelbagai kaum, agama dan latar belakang politik dengan tujuan menyediakan platform suara anak muda dimartabatkan bagi membina bersama Malaysia Sejahtera.
 
Menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin, pertemuan yang diadakan menjadi titik mula kepada memperkukuhkan hubungan di kalangan Pemuda Gagasan Sejahtera, serta platform perbincangan berkenaan isu-isu semasa khususnya yang berkaitan dengan anak muda.
 
Antara intipati resolusi yang dipersetujui dalam pertemuan itu katanya, ketiga-tiga parti komponen berkenaan bersetuju untuk menggandakan usaha memperkukuhkan Pemuda Gagasan Sejahtera melalui pertemuan berkala dan memperbanyakkan program-program bersama di semua peringkat.
 
Selain itu, pihak berkenaan turut bersetuju mewujudkan jawatankuasa bersama bagi memperkasa media dan memperjuangkan isu-isu anak muda serta sekali gus mengutarakan solusi Islam.
 
Tambahnya, menyedari situasi semasa yang melingkungi kehidupan anak muda Malaysia di mana mendesak dan semakin tidak terbela di bawah Kerajaan PH, Pemuda Gagasan Sejahtera merasakan perlu meletakkan agenda memperkukuh permuafakatan sebagai salah satu yang lebih segar dan inklusif terhadap anak muda.
 
“Dengan ini kami sekali lagi menegaskan komitmen Pemuda Gagasan Sejahtera untuk memartabatkan suara anak muda serta mengemblengkan tenaga dan idea pemuda seluruh negara untuk anak muda bersama-sama menyumbang dalam pembinaan Malaysia yang sejahtera,” katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam majlis pertemuan sayap Pemuda Gagasan Sejahtera yang diadakan di Pejabat Agong PAS, Kuala Lumpur yang dihadiri oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Pemuda BERJASA serta Pemuda IKATAN. - HARAKAHAILY 28/7/2019