19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Roh Islam satukan PAS-Umno - Presiden PAS

Berita
Typography
SEPANG: Kesilapan politik dan masa depan negara yang berlaku pada hari ini telah membimbangkan rakyat negara ini hingga memaksa PAS dan Umno bertemu sebagai kawan dalam arena politik.
 
Menurut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, bukan perkara baharu PAS dan Umno bersama dalam kerjasama politik.
 
Kerana katanya, roh Islam dalam diri setiap Muslim yang telah menyatukan umat Islam sepertimana berlaku ketika zaman pasca kemerdekaan apabila PAS dan Umno bersama demi kestabilan politik di negara ini.
 
"Mengapa PAS boleh terima Umno? Umno Melayu, Melayu adalah Islam. Kefahaman kita, Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam sampai begitu sekali. Saya (masih) ingat orang India masuk Islam dia kata orang India masuk Melayu sampai begitu.
 
"Pengalaman-pengalaman lalu jadi pengajaran kepada kita maka perpaduan kita kali ini lebih kukuh, insya-Allah," ujarnya.
 
Demikian itu juga jelasnya, usaha kerjasama politik PAS dan Umno untuk membuat perubahan politik adalah memerlukan orang Islam sendiri mendukung kerjasama ini serta memerlukan orang bukan Islam yang tidak ekstrem bersama.
 
Tuan Guru Abdul Hadi berkata demikian dalam program Ceramah Perdana Islam Memimpin Perpaduan yang diadakan malam tadi di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi anjuran PAS kawasan Sepang.
 
Selain beliau, turut memberi ceramah adalah Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa yang diiringi dengan kehadiran Ketua Umno Bahagian Sepang, Noorazli Said, Ketua Perhubungan Umno Selangor, Dato' Mat Nazari Ahmad Dahlan, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Yang Dipertua PAS Kawasan Sepang, Ir Mohd Haslin Hassan. - HARAKAHDAILY 29/7/2019