19
Thu, Sep
44 Artikel Baru

Kaum Iban Siol Kandis sertai DHPP di Petra Jaya

Berita
Typography
PETRA JAYA: Penyertaan masyarakat bukan Islam sebagai ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) membuktikan PAS semakin diterima oleh masyarakat bukan Islam.
 
Sempena program Kamek Prihatin yang diadakan di kawasan majoriti masyarakat Iban, Kampung Siol Kandis, di sini kelmarin, PAS Kawasan Petra Jaya turut menerima 20 borang penyertaan DHPP.
 
Program yang dianjurkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Petra Jaya ini turut dihadiri Yang Dipertua PAS Petra Jaya, Morshidi Hassan dan Ketua Muslimat PAS Petra Jaya, Habsah Bujang.
 
Melalui ucapan disampaikan oleh Morshidi, beliau turut menyatakan penghargaan kepada penduduk Kampung Siol Kandis yang telah memberi sokongan kepada PAS dalam PRU yang lepas.
 
"Mengikut Perlembagaan PAS, ahli PAS untuk orang Islam sahaja, namun, PAS turut menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bagi membolehkan penyokong PAS dalam kalangan bukan Islam untuk bersama dengan perjuangan PAS," katanya.
 
Tambah beliau lagi, PAS adalah platform bagi rakyat menyalurkan suara dan bantuan bagi menjaga kebajikan rakyat melalui kerjasama PAS dan masyarakat setempat.
 
Menurut Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Petra Jaya, Amanda Mohd Ali, bersempena program ini, sebanyak 20 kit barangan keperluan harian turut diserahkan kepada keluarga yang terpilih. - HARAKAHDAILY 29/7/2019