19
Thu, Sep
39 Artikel Baru

PAS tidak berpolitik dalam gelap, tapi beri 'cahaya'

Berita
Typography
PADANG RENGAS: Allah S.W.T memuliakan manusia dengan kelebihan berbanding makhluk yang lain hingga dilantik sebagai khalifah bagi mengurus alam ini mengikut 'cahaya' diberikan-Nya yakni tanpa melupai akhirat.
 
Demikian dinyatakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Hashim Jasin dalam kuliah Subuh yang disampaikan beliau di Musolla al-Ehsan, Kampung Lubuk Batu, di sini semalam.
 
“Oleh kerana tanggungjawab itu terletak pada manusia, ahli bijak pandai menyebut "Setiap orang yang celik akan nampak cahaya. Tetapi orang yang celik ini tidak akan nampak sesuatu kalau tidak ada cahaya".
 
“Walaupun kita celik (dan) boleh nampak, tetapi orang yang celik ini tidak akan nampak kalau tak ada cahaya. Kalau kita tutup suis, padam semua lampu, mata elok tapi tak nampak. Ini yang banyak berlaku dalam masyarakat kita. Ramai orang celik duk dalam gelap.
 
“Jadi tugas kita yang celik ni sekarang kena buat apa? Wujudkan cahaya dalam kehidupan masyarakat. Maka dengan cahaya itu orang yang celik itu boleh nampak. Nampak keagungan, kebesaran Allah. Dan kehidupan ini semua dikembalikan kepada Allah. 
 
"Islam tak tinggal kita dalam keadaan teraba-raba. Panduannya ada. Syaratnya, jangan ketepikan panduan ini. Sedangkan tuntutan berpegang dengan tali Allah. Dia habaq (beritahu) dah, Aku (Allah) tak nak hangpa (kamu) pegang dengan hat (yang) lain daripada 'hablillah'. Jangan pecah belah," tegas beliau.
 
Memahamkan dengan lebih mendalam analogi tersebut, beliau memetik 'cahaya' dari ayat 103 surah Ali-Imran yang memerintahkan supaya berpegang kepada 'tali Allah' dan peringatan jangan berpecah-belah.
 
Hal tersebut dikaitkan Tuan Guru Hashim dengan perkembangan penyatuan ummah Melayu Islam di negara ini yang tercapai atas kesediaan PAS memaafkan Umno kerana mencontohi Rasulullah.
 
Jelas beliau, kemaafan walaupun kepada musuh yang telah menzalimi itulah perdamaian yakni merupakan antara 'cahaya' menyebabkan mereka celik terhadap kebenaran dan pihak pemaaf pula mendapat pahala.
 
“Ada seorang tu datang (kepada saya). Terang-terang (dia) cakap. Saya tak boleh maafkan Umno. Marah sungguh. Apa dia (Umno) buat, dia tak cerita. Saya kata begini. Dia buat zalim kat (kepada) kita, Tuhan suruh kita maafkan dia. Apabila kita maaafkan dia, Tuhan bagi pahala kat kita. 
 
"(Kita ini) Sudahlah sembahyang kita pun tak layak nak masuk syurga. Nak dapat (syurga ialah dengan cara) kita maafkan dia, Tuhan bagi pahala. Tapi kalau kita tak maaf, apa pun tak dapat. 
 
“Payah? Memang payah. Tapi kena buat. Saya pi  tang (pergi di) mana pun, hat ni saya sebut. Sesuai dengan suasana kita nak nyalakan cahaya supaya orang celik dapat lihat kebenaran,” ujar beliau.
 
Tuan Guru turut mengungkap hikmah betapa penyatuan tersebut telah menyebabkan pihak tertentu menggelupur dan tidak dapat tidur lena yang dipercayai menyindir PH di mana terdapat parti gabungan itu mutakhir ini membuat tawaran kepada PAS dan Umno. - HARAKAHDAILY 29/7/2019
IMG 20190729 WA0024