19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

PAS-Umno jamin jaga agama, rakyat dan negara

Berita
Typography

TASEK GELUGOR: PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Permatang Pauh menyerlahkan ta'awun kedua pihak di pentas Ceramah Perpaduan Ummah, kelmarin.

Majlis yang mengupas pelbagai isu itu juga menjadi medan komitmen PAS-Umno untuk ummah di mana telah dilangsungkan di Maahad Da'awah Al-Islamiyah, Padang Menora, di sini.

Yang DiPertua PAS Permatang Pauh, Omar Hasan menutup kebimbangan rakyat dengan jaminan betapa hubungan di atas dasar Islam itu tidak akan menzalimi mana-mana agama dan bangsa.

Ucapan tersebut turut diperkukuhkan oleh peringatan dari Ahli Jawatankuasa Ulamak PAS Pusat, Ustaz Abdul Mutalib Maarof bahawa hubungan itu tidak terhad kepada pilihan raya.

Jelas beliau, ia bukan semata-mata untuk mendapatkan kemenangan siyasah, tetapi paling utama memimpin umat dan negara kepada jalan keredhaan Allah menerusi pemerintahan.

Pun begitu beliau mengajak rakyat negara ini menyedari betapa umat dan agama Islam di bawah kepimpinan negara hari ini lemah dalam membela Islam.

"Islam di negara kita ditindas dan ditekan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Agama Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W dihina. Sedang Menteri Agama pula tidak menjaga Islam, tetapi 'menjaga' agama-agama lain," bidasnya.

Lantaran itulah katanya, beliau tekad sepenuhnya untuk mengharungi cabaran-cabaran tersebut setelah meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Syura Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad dalam pidatonya turut menegaskan iltizam penyatuan PAS-Umno itu untuk mengembalikan hak serta maruah Islam dan Melayu.

Terangnya, kedua tonggak itu dan juga Bumiputera yang termeterai jaminan mengenainya dalam Kontrak Sosial sejak merdeka perlu terus dipertahankan demi kesejahteraan negara ini.

Bahkan tegasnya, komitmen kedua pihak itu tidak akan bererti di sisi Allah sekiranya untuk menjatuhkan PH semata-mata, sebaliknya paling utama menegakkan pemerintahan Islam di bumi Malaysia.

Beliau membentangkan mengenai bahayanya Kerajaan PH atas ancaman dan gugatan terhadap institusi Islam sebagai agama Persekutuan, termasuk ke atas Raja-raja Melayu.

Turut hadir dan berucap adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato' Ahmad Maslan dan Dato' Seri Tajuddin Abdul Rahman, serta Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff. - HARAKAHDAILY 29/7/2019

IMG 20190729 WA0114

IMG 20190729 WA0112

IMG 20190729 WA0111

IMG 20190729 WA0110