19
Thu, Sep
41 Artikel Baru

Tukar PM bukan macam tukar kasut

Tuan Guru Abdul Hadi pada Majlis Daurah Kitab Tafsir Quran, Sempena Ihtifal Idul Ilmi Ma’ahad Darul Quran Kali ke-28, di Masjid Rusila, hari ini.

Berita
Typography

MARANG: Rasionalnya pendirian PAS mahu mengekalkan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia hingga habis penggal kerana mahu memberi masa yang cukup dan tidak tergesa-gesa.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih banyak janji yang belum ditunaikan dan peluang perlu diberikan kepada Tun Dr Mahathir.

Beliau memberi perumpamaan menukar ganti jawatan Perdana Menteri itu bukanlah semudah memakai dan menukar kasut.

“Rasionalnya beri masa yang cukup, jangan tergesa-gesa. Apatah lagi janji Pakatan Harapan belum ditunaikan, takkan nak tukar tengah jalan.

“Jadi Perdana Menteri ini bukan macam pakai kasut, tukar sekejap-sekejap. Biar betul-betul stabillah dan beliau ada pengalaman jadi Perdana Menteri, yang paling lama, ada pengalaman masa dia memerintah dahulu.

“Kita boleh ambil pengalaman daripada dia (Mahathir). Apa lagi dalam usia dia yang tua itu kita perlu beri peluang kepada dia, selagi dia mampu,” tegasnya ketika menjawab pertanyaan pemberita apakah rasionalnya Tun Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Daurah Kitab Tafsir Quran, Sempena Ihtifal Idul Ilmi Ma’ahad Darul Quran Kali ke-28, di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Malah, kata Ahli Parlimen Marang itu ketokohan dan kepimpinan Tun Dr Mahathir lebih menonjol dalam Pakatan Harapan sebagai pemimpin parti Melayu.

“Saya rasa dia (Mahathir) lebih menonjol dalam Pakatan Harapan dan kita kena sedar parti Melayu dalam Pakatan Harapan ini parti Bersatu sahaja.

“Parti lain bukan parti Melayu. Parti PKR bukan parti Melayu, PAN ini parti cabang DAP, bukan parti Melayu. Sebab itu, kita beri kepada parti Bersatulah, yang Tun jadi ketua.

“Kalau belum tempoh matang macam mana hendak tukar (PM), biar matang dululah. Terpulang kepada Tun bila matang, dia bubar (Parlimen) buat pilihan raya (PRU15), itu lebih baik,” jelasnya.   

Ketika ditanya pemberita, pandangan beliau itu sama dengan Dato’ Seri Azmin Ali, kata Presiden PAS itu tidak ada kaitan kerana pandangannya lebih awal mahu kekalkan Tun Dr Mahathir.

“Pandangan saya awal dulu, saya tak berubah. Sepatutnya, mereka kuatkan Pakatan Harapan, jangan kelahi sesama sendiri. Selesaikan masalah dalaman,” tegasnya.

Senario politik semasa semakin hangat apabila ada desakan daripada kumpulan penyokong Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu mempercepatkan proses gantian jawatan Perdana Menteri, yang kini disandang oleh Tun Dr Mahathir. – HARAKAHDAILY 30/7/2019