17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Apakah usul libatkan Islam tidak jadi keutamaan?

Berita
Typography

SHAH ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor semalam menolak usul di bawah Peraturan Tetap 26(1) yang menggesa kerajaan negeri melaksanakan kajian penambahan terhadap keperluan surau solat Jumaat.

Dalam masa yang sama menaik taraf dan menjenama semula surau solat Jumaat yang sedia ada kepada status masjid di Negeri Selangor.

Membawa usul itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi meluahkan rasa kecewa apabila usul itu ditolak.

“Ia (usul) tidak terlalu besar hanya sekadar meminta kerajaan mengkaji semula sahaja.

"Apakah usul yang melibatkan agama Islam ini dilihat sebagai tidak menjadi satu keutamaan, sebab itu ditolak?" soalnya ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor, semalam.

Katanya, terdapat juga ADN dari pihak kerajaan yang menyokong usul itu kerana ianya betujuan untuk dikaji semula, bukan terus dilaksanakan.

Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor itu, sepatutnya sidang kali ini juga ada usul enakman pindaan berhubung Enakman Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

"Bagaimanapun tidak dibawa untuk sidang kali ini, saya tidak tahu mengapa dibimbangi rentetan daripada apabila kerajaan yang ada pada hari ini menyebabkan akhirnya perkara ini berlaku," katanya dengan nada kecewa.

Jelasnya, usul tersebut dibawa bagi memberi keselesaan kepada umat Islam di negara itu untuk menunaikan solat Jumaat dalam keadaan selesa berikutan kepadatan penduduk di negeri itu semakin bertambah. – HARAKAHDAILY 1/8/2019