17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Muslimat Bentong hayati seruan mengembara

Berita
Typography

CAMERON HIGHLAND: Lajnah Ekonomi bersama Lajnah Tarbiyyah dan Perkaderan Muslimat PAS Kawasan Bentong telah menganjurkan jaulah ilmiyah ke pusat peranginan di sini pada 29 Julai hingga kelmarin.

Diikuti hampir 40 peserta program ini bertujuan menyuntik elemen 'segar' disamping mengeratkan hubungan silaturrahim dan semangat amal jamaie antara ahli dan pimpinan Muslimat PAS Bentong.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya lawatan ke tempat 'wajib kunjung' iaitu ladang teh dan ladang strawberi, selaim kuliah Maghrib yang disampaikan sendiri Ketua Muslimat PAS Bentong, Roslin Jidin.

Di dalam kuliahnya, beliau telah memetik permulaan ayat 20 surah al-Ankabut mengenai seruan Allah "Qul siiruu fil - ardhi fanzhuru", yang bermaksud "mengembaralah kamu di muka bumi".

"Seruan "mengembaralah kamu di muka bumi" boleh kita kaitkan dengan perjalanan di tepi lereng-lereng bukit kebun teh tadi. Tidakkah di hati kita terbit rasa 'serun' dan takut?

"Adakah rasa takut yang sama ini mampu kita rasai tatkala disebut kalimah Allah?" ucap Roslin dengan penuh harapan agar peserta dapat mengambil 'ibrah' daripada program ini bukan sekadar jalan-jalan kosong.

Pujinya, walaupun sebahagian besar peserta adalah kalangan assabiqun, namun semangat mengembara dan kerjasama amat membanggakan dan beliau berharap ukhuwah terjalin akan terus mekar mewangi antara ahli dan pimpinan.

Hasil sambutan hangat terhadap jaulah rintis ini, telah membakar semangat Pengerusi Lajnah Ekonomi Muslimat PAS Bentong, Suryati Mansor untuk menjadikan program ini secara bersiri. - HARAKAHDAILY 1/8/2019