19
Thu, Sep
39 Artikel Baru

Gesa siasat isu larangan solat dan denda

Berita
Typography
LARANGAN kepada pekerja Muslim bersolat pada waktu kerja dan denda RM500 jika melanggarnya oleh sebuah kilang di Selangor hampir mencetus polemik agama dan perkauman. Bagaimanapun, setakat ini pihak pengurusan kilang telah menafikannya seperti yang dimaklumkan pihak Polis DiRaja Malaysia menerusi media.
 
Namun, semua pihak harus menyedari wujud dakwaan dan pengakuan lisan. Apatah lagi wujud 'pembelaan' politik oleh politikus dari kerajaan yang memihak kepada pihak kilang. Dengan sebab kecurigaan tersebut, maka secara adil menuntut satu siasatan telus dilakukan. Kepentingan semua pihak mesti dijamin, tidak memadai selesai penafian.
 
Kerana realitinya, perkara seumpama terjadi di banyak sektor terutama perkilangan yang laporan meluas telah ada kepada pihak-pihak berkaitan. Penafian disungguhkan pihak berkenaan tidak dapat menutup masalah yang masih menjadi konflik tidak berkesudahan di banyak tempat. Oleh itu penyelesaian sebaiknya mesti diadakan.
 
Pun demikian, menjadikan solat pada waktu dan di premis kerja sebagai larangan dalam peraturan dan dikenakan hukuman berat adalah keterlaluan lagi melampau. Ianya manifestasi sikap tidak menghormati hak menunaikan kewajiban agama yang wajib diberikan tanpa sekatan dan prejudis atau dijadikan kesalahan.
 
Majikan dan pekerja harus berbincang tanpa konflik untuk diberi masa dan tempat sewajarnya bagi memenuhi tuntutan tersebut. Pihak majikan tidak wajar menggunakan 'kuasa' padanya untuk menidakkan hak tersebut. Kami berpegang bahawa pekerja yang patuh pada agama memiliki integriti, kualiti dan kompetensi boleh menguntungkan majikan.
 
Kami juga menyeru semua majikan untuk berkompromi perkara yang tidak sewajarnya disengketakan, manakala pekerja pula dipelawa untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa atau kepada kami. Kami juga mengingatkan agar tiada tekanan diberi kepada pekerja atas usaha mereka mendapatkan hak atau menyatakan aduan yang benar mengenai perkara berkaitan ini.
 
"Islam Memimpin Perpaduan"
 
YB SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Pengerusi
Lajnah Pekerja dan Pengguna
Parti Islam Se-Malaysia
Ahli Parlimen Rantau Panjang - HARAKAHDAILY 2/8/2019