19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Kembalikan imej Selangor sebagai negeri berkebajikan

Berita
Typography
PEMUDA PAS Selangor bangkit menegur Kerajaan PH Negeri Selangor kerana polemik yang sangat banyak dihabiskan dalam pergolakan dalaman sehingga memangsakan rakyat negeri ini. 
 
Sikap politikus yang menjadikan kuasa sebagai matlamat secara mutlak dalam karier menjadikan politik dikotori dengan sikap tidak bertanggungjawab demi meraih kuasa. 
 
Akhirnya, rakyat menjadi mangsa malah politik akan terus dianggap kotor dan jijik dalam minda masyarakat. Politik hanya menjadi mainan kumpulan yang kuat ke atas kumpulan yang lemah berasaskan mainan undang rimba. 
 
Negeri Selangor pada sebelum PRU14 dilihat sebagai negeri berkebajikan dengan tawaran kebajikan yang hebat menerusi skim-skim yang pelbagai. Malah negeri Selangor sebelum ini dilihat sebagai saingan bagi pihak Persekutuan dalam memberikan sajian kebajikan kepada rakyat khususnya di negeri Selangor ini. 
 
Kini, walau telah setahun lebih Kerajaan PH memerintah negeri Selangor selepas diberi mandat oleh rakyat pada PRU14, negeri Selangor tidak lagi gah seperti sebelum ini. Pentadbiran yang dilihat lemah dengan gagalnya barisan EXCO kerajaan negeri dalam menyantuni rakyat serta tidak berkemampuan meneruskan legasi "kerajaan negeri berkebajikan" sebelum ini.
 
Krisis gangguan bekalan air yang masih belum dapat di atasi dengan baik antara satu tamparan hebat sepatutnya dipikul oleh Kerajaan PH hari ini. Sedangkan isu ini sepatutnya telah pun diselesaikan apabila sejak konsesi diambil alih pada 2018.
 
Selain itu, pemberian air percuma sebanyak 25 meter padu kepada golongan B40 masih belum dilaksanakan walaupun sudah memasuki suku ketiga tahun 2019.
 
Dan juga, ke mana perginya pelan kebajikan yang sebelum ini oleh kerajaan negeri Selangor menerusi Skim Mesra Usia Emas (SMUE)? Adakah berbaloi skim tersebut yang memperuntukkan bantuan khairat kematian untuk rakyat Selangor berjumlah RM2,500 hanya digantikan dengan voucher shopping berjumlah RM100 setahun sebagai tanda menghargai warga emas?
 
Malah amat mendukacitakan juga apabila rakyat di negeri Selangor semakin terhimpit khususnya golongan ibu tunggal dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan apabila skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Skim Peduli Sihat dihadkan bilangan penerima sejak 2019 yang menyaksikan penurunan dari 40,000 penerima KISS kepada 20,000 penerima. Begitu juga sebanyak 392,000 keluarga yang kini hanya 65,000 keluarga sahaja yang layak menerima Skim Peduli Sihat. 
 
Pemuda PAS Selangor mengharapkan Kerajaan PH di negeri Selangor pada hari ini berpolitik secara matang untuk menguruskan tanggungjawab dalam pemerintahan bagi memastikan kesejahteraan agama Islam dan kebajikan rakyat sebagaiman prestasi yang ditunjukkan sebelum PRU 14 sebelum ini.
 
Jangan dimangsakan rakyat dalam pergolakan dalaman parti. Negeri Selangor mesti dibangunkan di bawah tangan pemerintah yang berfikiran matang dalam berpolitik dan berjiwa kepimpinan. Usah gadaikan masa hadapan negeri dan rakyat dengan sikap rakus dan keji.
 
"Demi Islam"
"Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah"
 
USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
1 ZulHijjah 1440H / 2 Ogos 2019 - HARAKAHDAILY 2/8/2019