19
Thu, Sep
41 Artikel Baru

Kursus Dakwah Masyarakat Majmuk PAS Pulau Pinang

Berita
Typography
PERMATANG PAUH: Lajnah Dakwah PAS Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Kursus Dakwah Masyarakat Majmuk yang diadakan di Masjid Jamek Seberang Jaya, di sini kelmarin dahulu.
 
Kursus dirasmikan Yang DiPertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan ini bertujuan melahirkan para du'at yang menggerakkan peranan dakwah kepada masyarakat berbilang kaum.
 
Menurut beliau, kursus seumpama ini penting dalam melahir dan menyediakan para pendakwah yang bersiap terjun ke tengah masyarakat dengan ilmu dan kemahiran mantap mendepani kerencaman.
 
"Dakwah menyambung perjuangan Rasul S.A.W ini pastinya diuji dengan pelbagai ujian. Kita perlu didedahkan dan mempraktikkan pendekatan dakwah yang pelbagai sesuai mengikut keadaan masyarakat kita hari ini," serunya.
 
Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan iaitu oleh arkitek muda dari Street Dakwah Malaysia, Fadhil Azri Ismail bertajuk "Realiti Kesedaran, Kepentingan dan Keberhasilan Dakwah" dan teknik menjawab "Kita Semua Mampu Berdakwah".
 
Manakala wakil Lajnah Dakwah PAS Pulau Pinang, Mohd Hairul Kamal Razali dan Mohd Amirul Ashraf Fadzil membentang tajuk "Tauhid Pembeza Kebenaran dan Kebatilan" dan "Sejarah Keberagamaan Manusia".
 
Menurut Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pulau Pinang, Amir Hamzah Abdul Hashim, kursus itu telah mencapai objektif memahamkan peserta kaedah dakwah berkesan di mana mereka juga dianugerahkan sijil. - HARAKAHDAILY 2/8/2019