21
Sat, Sep
30 Artikel Baru

‘Perdana Menteri tahu siapa ganti selepas dia’

Berita
Typography

MARANG: Pertemuan pemimpin parti bukan kerajaan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, satu amalan demokrasi yang sihat, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Perdana Menteri boleh jumpa dengan parti pembangkang, bukan kerajaan. Itu demokrasi yang sihat, terbuka untuk bertemu dengan NGO dan itu satu proses demokrasi yang disuburkan.

“Itu memang di negara-negara yang mengamalkan demokrasi yang sungguhnya begitulah. Itu bukan perkara luar biasa jumpa dengan pembangkang, dengan siapa sahaja, itu perkara biasa. Cuma kepada mereka yang ada agenda-agenda lain yang menganggap itu di luar dari kemahuan dia,” jelasnya.  

Beliau berkata demikian di kediamannya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Ketika ditanya siapa yang layak jadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir, kata beliau, pertama, terserah kepada Perdana Menteri sekarang atau kembali kepada rakyat yang menentukannya.

“Adapun hendak meneruskan pemimpin kerajaan itu bukan hak kita. Bahkan, banyak diplomat asing berjumpa dengan saya, tanya saya siapa Perdana Menteri? Itu bukan hal saya, lagi pun Perdana Menteri tahu siapa yang (layak) ganti selepas dia.

“Kedua, kalau hendak serah kepada rakyat, rakyat yang akan menentukan siapa. Sampai diplomat asing pun macam itu. Itu saya rasa satu benda yang tak sepatutnya ada campur tangan yang macam itu.

“Kita mahu Perdana Menteri dapat melaksanakan tugasnya dengan lebih terbuka, sikap yang baik, yang kita alu-alukan. Kita ambil peluang ini, apatah lagi kita kena sedar bahawa kerajaan pusatnya begitu, kerajaan negerinya begini.

“Sehingga hari ini, kerajaan negeri dari pelbagai parti politik. Umno dua buah negeri, PAS dua buah negeri. Ada negeri yang PKR pimpin, PAN jadi Menteri Besar, DAP jadi Ketua Menteri. Apa salahnya kita jumpa dengan Perdana Menteri kerana kita berkonsepkan federalisma,” ujarnya.

Menurut beliau, parti bukan kerajaan juga berhak untuk bertemu dengan Perdana Menteri serta memberi pandangan kepada kerajaan dan bukan hanya di parlimen. – HARAKAHDAILY 2/8/2019