19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

DAP rempuh benteng umat, rungkai ikatan agama

Berita
Typography
BUKAN sekali, bukan dua kali, malah berkali-kali mereka mengusik dan terus mengusik sentimen perkauman, agama dan lebih berat lagi mempertikai institusi beraja.
 
Bagaikan tiada lagi rasa hormat dan mahu melihat keharmonian hidup dalam suasana perpaduan. Bukan sahaja sikap ditunjukkan, malah beragenda, ini lebih parah.
 
Tidak satu-satu soal agama Islam dan institusinya, malah institusi yang menaunginya dihina, dipertikai dan direndahkan semata-mata mahu menjadikan negara ini mengikut acuan mereka.
 
Dari isu laungan azan, hina Rasulullah S.A.W, remehkan peruntukan syariah, tolak undang-undang syariah, persoal amalan dalam Islam, hingga kepada menghina dan mencampuri urusannya. 
 
Tidak henti-henti mereka mencurah minyak, tatkala umat Islam masih bersabar dengan semua ini.
 
Kini soal ibadah pekerja Islam pula mereka sentuh, kehadiran pendakwah Islam pula mereka pertikai, sedangkan telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan Islam dan penyebaran ajarannya yang sah dari sudut perlembagaan atau undang-undang.
 
Perlu diingatkan kembali bahawa Islam sebagai agama rasmi atau agama Persekutuan telah pun dimaktubkan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
 
Ia menjelaskan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
 
Bukan sekadar disebut secara terang dan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, ia kemudian dipertegas kedudukan Islam sebagai agama rasmi bagi negeri-negeri turut dinyatakan dalam Perlembagaan semua negeri kecuali Sarawak sahaja berbeza.
 
Lihat dalam Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Johor dalam Perkara 57 (Bahagian 1); Kedah dalam Perkara 33A; Kelantan dalam Perkara 5; Melaka dalam Perkara 167 dan Negeri Sembilan dalam Perkara 5.
 
Pun begitu, secara terperincinya dari sudut undang-undang sama sekali ia mengesahkan kedudukan Islam dalam undang-undang tertinggi negara dan seterusnya mengisytiharkan mengenai kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. 
 
Tidak boleh sama sekali disangkal penegasan terhadap kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, dan ia adalah set dalam perundangan yang telah termateri kukuh, difahami sekian lama.
 
Lihat dalam Perlembagaan di mana dalam Perkara 3 (1), perkataan agama Islam disebut dengan jelas sekali, bukan dibawa dalam pengertian atau kata umum 'agama', ia tertulis 'Islam' ini tegas tanpa ada sangkalan.
 
Maka agama lain bebas dipraktikan itu tidak bermakna ia boleh disebarkan sewenang seperti agama Islam, ia tetap dan telah termaktub, kedudukan Islam dalam Perlembagaan yang bertulis tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
 
Adapun suara sumbang mempertikai hak, peluasan dan pengamalan cara hidup Islam di negara ini hari ini sudah makin melampau.
 
Sikap pihak tertentu mempertikai kedudukan Islam melalui cara membantah, menghina, menghalang dan memrendahkan sama ada amalan, keraian, ibadah, cara hidup, institusi Islam khususnya serta institusi yang memayunginya iaitu Raja dan Sultan amatkan mengecewakan.
 
Biarpun berkali-kali umat Islam bangkit membantah tindakan 'biadab' pihak terbabit menghina, mempertikai malah mencampuri urusan umat Islam, namun mereka ini masih berterusan menjolok sarang tebuan, kerana Kerajaan PH hari ini tidak mampu bertindak dengan tegas dalam menghentikan semua ini.
 
Biarpun kerajaan tahu, ia adalah api yang sengaja dinyalakan pihak tertentu, namun mereka hanya bertindak umpama 'melepas batuk di tangga',  yang mempertikai, menghina bebas dan terus bebas, malah ada Yang Berhormat dari DAP yang mencetus api keagamaan pun hingga hari ini dibiar bebas.
 
Harus diingatkan kembali, sejarah kewujudan Negara Malaysia yang sebelumnya Tanah Melayu, maka di sana para cendekiawan, sejarahwan, pakar Perlembagaan telah bersetuju dan sepakat mengenai keabsahan Malaysia dan set undang-undang tubuhnya yang mana ia bumi berdaulat yang tidak perlu lagi dibahaskan.
 
Maka harus diingat, sesiapa mempertikai ehwal Islam, ia sama juga mempertikai kedudukan Raja dan Sultan yang menaungi Islam di mana ia disebut Raja atau Sultan adalah ketua agama yang melindunginya. Usahlah bertindak biadab dan lebih sudu dari kuah kerana ia hak yang telah disepakati bersama sejak dahulu. - HARAKAHDAILY 3/8/2019