19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Rasional, profesional nilai hala tuju pendidikan

Berita
Typography
PEMUDA PAS Malaysia meneliti perkembangan semasa berkenaan isu memorandum daripada Kementerian Pendidikan untuk memperkenal tulisan khat dalam subjek Bahasa Melayu. Di pihak kami, inisiatif ini selari dengan cadangan yang diutarakan dalam ucapan penggulungan pada tanggal 20 Jun 2019 yang lalu sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60. 
 
Dalam ucapan tersebut juga dicadangkan dua lagi inisiatif pendidikan yang perlu dilaksanakan iaitu mewajibkan pembelajaran Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil disamping pembelajaran tulisan jawi tanpa adanya penilaian melalui peperiksaan.
 
Bagi kami, cadangan ini disandarkan kepada dua asas utama iaitu bagi pertamanya memperkukuh hubungan antara kaum dan mempererat perpaduan. Melalui pembelajaran bahasa, kita dapat mengenal dan memahami budaya sesuatu bangsa dan masyarakat. Manakala keduanya adalah mempersiap generasi anak muda berhadapan dengan senario geopolitik dan geoekonomi dunia yang meletakkan China dan India sebagai negara berpotensi menjadi kuasa ekonomi dunia akan datang. 
 
Dengan kebolehan generasi muda bertutur dalam dua bahasa, akan memposisikan Malaysia menjadi negara yang mempunyai 'competitive advantage' apabila berurusan dengan dua kuasa besar ini seterusnya mempermudah usaha-usaha kearah mencapai negara maju. Pada masa yang sama penulisan khat dapat membina jati diri Malaysia serta mendekatkan generasi muda khususnya Islam dengan Al Quran yang menjadi panduan kehidupan.
 
Justeru, Pemuda PAS Malaysia ingin menyeru pihak-pihak pemegang taruh agar bersikap rasional dan profesional dalam menilai halatuju pendidikan negara dan tidak bermain dalam perspektif sempit perkauman. 
 
Pemuda PAS Malaysia juga bersedia untuk berbincang dengan pihak Kementerian Pendidikan dan pihak-pihak pemegang taruh berkenaan cadangan yang kami utarakan ke arah pembentukan jati diri rakyat Malaysia dalam membina masa hadapan Malaysia yang sejahtera. 
 
IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda 
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 3/8/2019