17
Tue, Sep
45 Artikel Baru

GAMIS anjur bedah buku politik pemerintahan Islam

Berita
Typography
BANGI: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) telah mengadakan program bedah buku yang telah dilangsungkan di Kompleks Pendidikan Islam, Seksyen 16 Bandar Baru Bangi, di sini semalam.
 
Penganjur memilih buku berjudul "Ad-Daulah al-Islamiyah fi al-Mujtama' at-Ta'addudi" atau "Negara Islam Dalam Konteks Masyarakat Majmuk" itu dikupas tokoh anak muda, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
 
Beliau yang juga merupakan Adun Batu Buruk dari Terengganu serta aktif dalam arena politik, telah telah membahas isi kandungan buku karangan ulamak terkemuka tanah air, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu.
 
Antara diterangkan Khalil adalah konsep Islam sebagai agama dan negara, termasuk sejarah kebangkitan Islam melibatkan usaha pembukaan negara dan cabaran menghadapi penjajahan musuh Islam.
 
Beliau juga mengemukakan dari kupasan buku itu teori dan idealogi serta sistem yang memisahkan agama dari pemerintahan yakni sekular termasuk dibawa oleh kalangan pembangkang dan penyokongnya.
 
“Ajaran Islam mengajar kita bahawa semua perkara yang diperlukan oleh manusia ada dalam Islam kerana Islam ini bukan sahaja satu agama sebagaimana yang difahami oleh penjajah Barat, kerana menurut mereka agama adalah untuk pegangan individu sahaja.
 
“Islam adalah satu sistem untuk mengurus kehidupan manusia, tetapi berlaku apabila masuknya penjajah dan jatuhnya Kerajaan Islam dan tidak dilaksanakan syariat Islam dalam pemerintahan, lalu Islam diikat dan dihukum ke atasnya.
 
"Sedangkan Islam sepatutnya memimpin, tetapi yang berlaku ialah Islam dipimpin. (Begitu juga) Walaupun negara Islam sudah merdeka, penjajah sudah keluar, tapi pemikiran ini masih ada dalam diri umat Islam," ujarnya mengingatkan.
 
Ustaz Khalil turut menyentuh mengenai kegagalan dakwah apabila sebahagian para pendakwah melaksanakan tuntutan itu tanpa kefahaman sebenar hingga kesilapan yang terjadi mendatangkan benci kepada Islam.
 
Beliau juga menekankan pentingnya muhasabah dalam kalangan umat Islam agar mereka tidak tergolong bersikap bermudah-mudah dan terlalu berkeras disebabkan tiada kefahaman yang baik berkenaan Islam.
 
“Hari ini kalau kita bercakap kemunduran yang berlaku ke atas umat Islam, kita tidak boleh kata ini perancangan musuh, betul itu betul. Tapi dalam masa yang sama kita perlu menyalahkan diri kita, kita perlu muhasabah diri kita.
 
"(Lihat) Diri kita ni siapa dia, orang awam Islam, ulamak, pendakwah-pendakwah, dan juga kerajaan-kerajaan yang memerintah?" ujarnya menyeru setiap yang ada menggerakkan peranan. - HARAKAHDAILY 3/8/2019
IMG 20190803 WA0005