Presiden PAS failkan saman fitnah Sarawak Report

Berita
Typography

PRESIDEN PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, saman itu difailkan pada 21 April lalu bagi mendapatkan jumlah ganti rugi dan suatu perintah injuksi berikutan penyiaran satu artikel di website Sarawak Report  yang bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many Other Criminal Connections – COMMENT”.

Katanya, artikel tersebut termasuklah kenyataan yang boleh difahami bahawa Presiden PAS secara peribadi telah menerima atau meluluskan penerimaan sejumlah besar rasuah daripada Perdana Menteri Najib sebagai pertukaran untuk berkompromi dalam hal pendirian politik PAS.

"Segala tohmahan tidak benar sama sekali, tohmahan dan dakwaan rasuah seumpama ini jelas merosakkan dan menjejaskan reputasi  seorang seperti Presiden PAS yang amat komited dengan proses demokrasi sejak sekian lama.

"Di mana falsafah politik serta segala tindak tanduk beliau jelas menggambarkan beliau berpegang teguh kepada prinsip dan ajaran Islam," katanya pada sidang media di luar Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.

Menurut Takiyuddin, Presiden PAS telah melantik peguam di London, Carter-Ruck yang sudah pun menghantar notis undang-undang kepada Clare akhir tahun lalu bagi menuntut permohonan maaf daripada pengasas Sarawak Report itu dan menarik balik artikel berkenaan tetapi,  gagal memberi maklum balas, sebaliknya mengeluarkan beberapa kenyataan umum yang merumitkan lagi isu itu.

Justeru katanya, dengan mengambil kira keadaan fitnah yang amat berat ini Presiden PAS tidak akan membiarkan fitnah ini berlalu begitu sahaja tanpa dicabar.

Ia susulan laporan Sarawak Report pada Ogos 2015 yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha Datuk Seri Najib Razak “menarik” kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan Umno. – HARAKAHDAILY 27/4/2017