19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

DAP semakin lantang gugat kepentingan Islam-Melayu

Berita
Typography
GOMBAK: Ancaman Kerajaan PH terutamanya oleh DAP terhadap Perlembagaan Malaysia semakin lantang diperjuangkan parti itu yang terpateri dari Deklarasi Setapak untuk mengangkat agenda kesamarataan kepada semua agama dan juga kaum.
 
Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, khususnya dalam Perkara 3(2) Agama Islam, Perkara 152 Bahasa Melayu, Perkara 153 Keistimewaan Orang Melayu-Bumiputera, Perkara 189 Tanah Rezab Melayu dan gugatan terhadap Majlis Raja-raja Melayu.
 
Hal tersebut jelasnya, dapat disaksikan apabila DAP turut mempertikaikan peruntukan dana terhadap projek dan program agama Islam, termasuk mempertikai kuota kemasukan matrikulasi yang mahu disamaratakan kepada semua kaum.
 
Begitu juga kesali beliau, apabila Akta Bahasa Melayu sengaja dicabul apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan pekeliling dalam Bahasa Mandarin sebaik beliau menjadi menteri diawal pelantikan.
 
Kemuncaknya terang beliau, apabila Kerajaan PH secara biadab menandatangani Statut Rom dan mahu meratifikasi ICERD yang memberi kesan iaitu akan melemah serta melumpuhkan kuasa Raja-raja Melayu.
 
Semua itu dibentangnya pada Ceramah Umum Penyatuan Ummah bersama Pengerusi Umno Negeri Selangor, Dato' Mat Nadzari Ahmad Dahlan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, di sini kelmarin.
 
Kamaruzaman turut mengajak umat melihat tragedi di Pulau Pinang di mana DAP merobek satu persatu Perlembagaan untuk membangunkan 4,500 ekar pulau buatan bersama banglo-bango mewah, sekali gus menghalau orang Melayu secara halus.
 
Turut sama berceramah adalah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya pada majlis yang juga dihadiri Setiausaha dan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Dato' Ramlan Askolani dan Mohamed Nidzam Abdullah Hamidi. - HARAKAHDAILY 4/8/2019